Pemain skuad futsal Pulau Pinang, Muhammad Firdaus Zulkefli mahu musim pertama bersama pasukan itu dapat menjelmakan sesuatu yang membanggakan buat dirinya dan para penyokong negeri tersebut.

Firdaus merupakan salah seorang daripada pemain baharu yang memperkuatkan Pulau Pinang bagi menghadapi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2022 dimana skuad kendalian Hasrinizam Hashim itu berjaya mengesahkan tempat ke saingan Piala Futsal Malaysia [lapan pasukan teratas MPFL].

Ketika kempen liga hanya berbaki satu perlawanan untuk ditamatkan, Pulau Pinang kini menghuni tangga keempat dengan 23 mata hasil tujuh kemenangan, dua keputusan seri dan empat kekalahan.

Firdaus bersama seorang lagi bekas pemain Perak, Faizul Azuan memperkuatkan Pulau Pinang musim ini.

Dinilai sebagai seorang pemain yang bijak dalam membuka ruang buat rakan sepasukan untuk mendapatkan jaringan serta cukup mobiliti ketika beraksi, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pihak pengurusan Pulau Pinang telah membuat keputusan tepat dalam merekrut bekas pemain pasukan Perak itu.

“Pada mulanya memang saya agak berat hati untuk meninggalkan Perak selepas mula beraksi bersama pasukan sejak daripada Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2015 hingga MPFL 2020. Sudah pasti banyak kenangan bersama pasukan negeri kelahiran sendiri.”

“Namun, atas dorongan jitu daripada ibu dan rakan-rakan serta bekas pengurus Perak, Encik Wan Fadzli Izam, saya memilih untuk berhijrah selain daripada saya mahu mencabar diri supaya keluar daripada zon selesa.”

“Alhamdulillah, berkat kerjasama rakan sepasukan baharu saya di Pulau Pinang, kami dapat membentuk sebuah pasukan yang baik,” ujar Firdaus ketika dihubungi wakil Vocket FC.

“Jika sebelum ini nama Pulau Pinang sedikit dipandang sepi dalam saingan LFK dan MPFL, kini tidak lagi dengan apa yang telah kami tampilkan setakat ini.”

“Bagi saya, Pulau Pinang bukanlah sebuah pasukan yang mempunyai nama-nama besar dalam kancah futsal tanah air tetapi semangat juang tinggi dan sikap tidak menyerah kalah dalam kalangan pemain menjadi aset penting dalam memberikan aksi terbaik setiap perlawanan.”

Firdaus meledakkan tiga jaringan pada musim ini.

Dalam masa yang sama, anak kelahiran Ipoh ini turut mempunyai misi serampang dua mata ketika bersama Pulau Pinang.

“Sama seperti pemain lain, saya bertekad membantu Pulau Pinang meraih gelaran juara Piala Futsal Malaysia nanti sekali gus mahu mendedikasikan buat para penyokong selepas kami terlepas peluang untuk menjulang trofi liga.”

“Namun, semua itu terletak kepada kami sendiri untuk merealisasikannya dengan bekerja lebih keras dan memperbaiki segala kelemahan yang dikesan sepanjang liga berlangsung.”

“Selain itu, saya juga bekerja keras untuk melihat impian saya sejak dari mula bermain futsal iaitu mahu menyarung jersi skuad kebangsaan dalam kejohanan antarabangsa menjadi kenyataan,” tambah Firdaus Zulkefli lagi.