• Kem latihan pusat skuad kebangsaan China bermula hari ini selama 2 minggu sehingga 31 Mei 2020.
  • Fasa kedua latihan pusat selepas mereka membuat persiapan awal di Dubai selama 34 hari pada bulan Februari lepas.

Skuad kebangsaan China bakal berwajah baharu apabila 6 pemain naturalisasi baharu dipanggil memperkuatkan pasukan itu bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

China terdesak untuk membentuk barisan yang mantap supaya dapat mencapai sasaran layak ke Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah bola sepak mereka.

Tiga pemain naturalisasi telah dipanggil menyertai kem latihan yang dikendalikan oleh Li Tie pada hari ini iaitu Elkeson (Ai Kesen), Aloisio (Luo Guofu) dan Nico Yennaris (Li Ke).

Ai Kesen dan Li Ke adalah sebahagian daripada 25 pemain yang disenaraikan oleh Marcello Lippi bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Filipina dan Syria pada tahun lepas.

Manakala baki tiga lagi pemain naturalisasi yang lain iaitu Ricardo Goulart (tengah), Alan Carvalho (penyerang) dan Fernando Henrique (penyerang) akan menyusul selepas mereka menyelesaikan proses dokumentasi untuk menyertai skuad China.

Kebanyakan pemain naturalisasi ini beraksi dengan kelab Guangzhou Evergrande dan mereka telah didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Super China (CSL) sejak tahun lepas.

Ia adalah sebahagian daripada perancangan bekas jurulatih , Marcello Lippi bagi memastikan pasukan itu mempunyai barisan yang kuat untuk bersaing di peringkat Asia.

“Sejak 2019, Guangzhou Evergrande telah membantu 6 pemain ini mendapatkan kad pengenalan China dan status warganegara yang sah di Guangzhou.

“Pada masa yang sama, Guangzhou Evergrande dan Persatuan Bola Sepak China (CFA) telah bekerjasama untuk mempromosi pemain naturalisasi bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan,” kata petikan daripada Guangzhou Daily.

Lebih menarik, seorang lagi pemain Evergrande yang juga merupakan bekas pemain muda England, Tyias Browning turut mendapat status warganegara China dan beliau layak menyertai skuad negara itu pada tahun ini.

Nama cina Tyias Browning ialah Jiang Guangtai.

Presiden CFA, Chen Xuyuan menegaskan kemasukan pemain asing adalah untuk perancangan jangka masa pendek bagi mencapai sasaran layak ke Piala Dunia. Mereka merancang untuk menjadi kuasa gergasi Asia pada tahun 2030 dan gergasi dunia pada tahun 2050.

Bagaimanapun, kehadiran ramai pemain naturalisasi turut menimbulkan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan peminat bola sepak di China yang mendakwa sistem pembangunan akar umbi di negara itu telah gagal.

Lihat artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak China melalui pautan dibawah. 

Pemain Skuad Kebangsaan China Dipecat Dari Guangzhou Evergrande Kerana Guna Nombor Plat Palsu

Liga Super China 2020 Kemungkinan Terpaksa Dibatalkan

Guus Hiddink Dipecat Sebagai Jurulatih China B-23 Selepas Tewas Kepada Vietnam