Pengurus pasukan skuad hoki negara, Dato’ Mirnawan Nawawi mengakui anak buahnya tidak terlalu terganggu meskipun kecewa dengan kekalahan bertemu Sepanyol pada peringkat ‘cross-overs’ Piala Dunia Hoki 2023 tempoh hari.

Seperti yang dapat disaksika pada perlawanan di Stadium Kalinga, Bhubaneswar tempoh hari, barisan pemain negara menampilkan semangat juang tinggi untuk mengikat Sepanyol.

Namun, kegagalan Marhan Jalil, Shello Silverius dan Firhan Ashari untuk menyempurnakan penalti ‘shoot-out’ menyaksikan skuad negara akan membuat perhitungan dengan Afrika Selatan petang esok untuk perlawanan klasifikasi tempat ke-9/16 di Rourkela.

“Daripada segi mood kem pasukan hoki negara saya dapat lihat begitu positif walaupun selepas menentang Sepanyol sememangnya para pemain begitu kecewa.”

“Tetapi sebagai seorang atlet di peringkat antarabangsa, perkara-perkara sebegini boleh berlaku di sepanjang kejohanan,” ujar Mirnawan menurut kenyataan dikeluarkannya menerusi video di laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia.

“Tetapi apa yang penting adalah pemain-pemain mereka mampu sebenarnya untuk kembali bangkit dan juga fokus kepada tugas serta tanggungjawab yang  seterusnya.”

“Ketika ini fokus harus diberikan kepada perlawanan menentang Afrika Selatan dan saya percaya para pemain mampu untuk melakukan yang terbaik.”

Dalam pada itu, Mirnawan Nawawi bersama barisan skuad negara yang sudah berada di Rourkela mengucapkan terima kasih di atas sokongan padu diberikan oleh para penyokong di tanah air dalam mendukung perjuangan para pemain di sana.