Persatuan Bola Sepak Arab Saudi telah menggantung khidmat salah seorang pengadil Piala Dunia, Fahad al-Mirdasi, seumur hidup kerana miminta wang suapan dan mahu FIFA turut menjatuhkan hukuman yang sama kepadanya.

Fahad al-Mirdasi merupakan salah seorang dari 6 orang pengadil yang dipilih oleh FIFA dari AFC untuk mengadili perlawanan di Piala Dunia Russia 2018.

Screen Shot 2018-05-16 at 8.54.57 PM

Menurut laporan siasatan dari Jawatankuasa Etika dan Disiplin Persatuan Bola Sepak Arab Saudi, Fahad al-Mirdasi telah didapati meminta rasuah bagi menetapkan keputusan perlawanan.

Beliau telah dipilih untuk mengadili perlawanan akhir King’s Cup Arab Saudi diantara 2 kelab tersohor Al-Faisaly dan Al-Ittihad, namun nama beliau telah dikeluarkan dari senarai pegawai perlawanan bertugas beberapa jam sebelum sepak mula.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Etika dan Disiplin, Fahad al-Mirdasi didapati telah menghubungi presiden kelab Al-Ittihad, Hamad Al-Sanayeh, bagi meminta habuan untuk membolehkan kelab itu mencapai kemenangan.

REF.Fahad_-640×360

“Presiden Al-Ittihad, Hamad Al-Sanayeh telah menghubungi Persatuan Bola Sepak Arab Saudi dan memberitahu bahawa beliau mempunyai bukti Fahad Al-Mirdasi telah menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp. Beliau meminta sejumlah wang sebagai tukaran untuk dia membantu pasukan Al-Ittihad memenangi perlawanan.”

Kes ini telah dirujuk kepada ‘Sports General Authority‘ dan siasatan lanjut telah dijalankan.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, Fahad Al-Mirdasi mengakui pertuduhan itu dan telah dijatuhkan hukuman digantung dari terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak seumur hidup.

Jawatankuasa Etika dan Disiplin itu juga telah memohon kepada FIFA untuk mengeluarkan nama Fahad Al-Mirdasi dalam senarai pengadil kejohanan Piala Dunia Russia 2018 dan menggantung beliau seumur hidup.

“Integriti kami mengatasi semua pertimbangan”, kata ketua Sports General Authority, Turki Al-Sheikh.