AC Milan tewas ketika menjamu kunjungan Spezia di San Siri. Pengurus AC Milan, Stefano Pioli benar benar bengang dengan pengadil yang menurutnya telah merompak kemenangan AC Milan bertukar – bukan seri – tetapi bertukar kekalahan.

Beraksi di San Siro, Milan mendahului pada minit 45+1 menerusi jaringan Rafael Leao. Bagaimanapun, Spezia sangat baik pada separuh masa kedua. Mereka menyamakan kedudukan menerusi jaringan Kevin Agudelo.

AC Milan kemudian mendapat gol pada masa kecederaan menerusi Messias minit ke-90+2. Namun pengadil membatalkan gol itu kerana memberikan foul kepada Spezia. Para pemain AC Milan sangat kecewa pengadil tidak memberikan advantage kepada mereka.

Ibrahimovic dua kali menguji penjaga gol lawan selepas itu namun kedua duanya diselamatkan.

Lebih malang apabila selepas itu Emanuel Gyasi menjaringkan gol pada masa kecederaan 90+6.

Kekalahan itu menyaksikan AC Milan kini 2 mata di belakang Inter Milan yang berada di tangga teratas.

Selepas tamat perlawanan, Pioli berkata, keputusan pengadil ketika gol Messias dibatalkan itu membuatkan mereka hilang fokus. Namun enggan menjadikan pengadil sebagai kambing hitam kekalahan mereka.

Kerana menurutnya, mereka juga turut bertanggungjawab kerana membenarkan lawan mereka bermain dengan rentak mereka pada separuh masa kedua.

“Saya cuba menenangkan pemain saya, tetapi saya tidak berjaya. Akhirnya Spezia mendapat gol,” kata Pioli kepada DAZN.

“Kami merasakan ia adalah ketidakadilan, kami sendiri juga harus dipersalahkan, tetapi kami berkongsi tanggungjawab dengan pengadil.”

“Saya minta maaf untuk menyedapkan hati sahaja. Pengadil juga sudah datang memohon maaf kepada kami. Dan mungkin ia bukan satu kesilapan juga. Ia agak memalukan [kalah dengan cara sebegini],” kata Pioli.

“Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol pada separuh masa pertama, ia adalah malam yang buruk dan kami perlu bertindak balas sekarang.”

Selepas ini Milan akan berdepan dengan Juventus yang dianggap perlawanan ujian sebenar kredibiliti mereka selaku pencabar kejuaraan liga.