Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menafikan dakwaan dilemparkan Pierre-Emerick Aubameyang yang mengatakan dirinya menjadi punca kepada penghijrahan bekas ketua pasukan itu.

Selepas lima musim menjadi sandaran utama The Gunners, Aubameyang akhirnya mengambil keputusan untuk menyertai Barcelona secara percuma pada jendela perpindahan Januari tempoh hari.

Antara spekulasi yang menyatakan menjadi penyebab utama membuatkan pemain skuad kebangsaan Gabon itu melangkah pergi ialah hubungan dingin dengan Arteta sehingga beliau tidak diberikan peluang beraksi pada fasa akhir di Stadium Emirates.

Bagaimanapun, Arteta yang mula membimbing Arsenal sejak 22 Disember 2019 menempelak tanggapan tersebut dan menganggap dirinya bertindak sebagai penyelesai masalah.

“Itu merupakan pendapat yang disuarakannya dan anda perlu untuk menghormatinya,” ujar Arteta menurut laporan dikeluarkan Eurosport.

“Saya sangat bersyukur dengan segala yang telah dicurahkan oleh Auba. Cara saya melihat diri saya dalam hubungan ini sebagai penyelesai masalah, bukannya punca kepada masalah.”

“Saya telah menjadi penyelesai kepada masalah, 100 peratus. Saya boleh melihat mata sesiapa sahaja. Niat saya sepanjang masa bukanlah kerana diri saya tetapi ia untuk kelab dan pasukan.”

“Saya fikir ia akhirnya menjadi cara terbaik buat semua orang. Ini merupakan sebahagian daripada bola sepak.”

“Anda perlu membuat keputusan bahawa keputusan terbaik untuk dilakukan dengan membiarkan dia melupakan perkara tersebut dan ketika ini dia sudah bermain untuk Barcelona,” tambah Mikel Arteta lagi.

Sepanjang bersama Arsenal, Aubameyang telah membuat 165 penampilan dan menjaringkan 92 gol serta mencipta 29 bantuan jaringan dalam semua pertandingan disertai.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:

Azalinullah Alias Tak Mahu Mimpi Ngeri Berulang Lagi

Piala Dunia Kelab: Jaringan Tunggal Lukaku Bawa Chelsea Ke Final

Empat Pemain Digugurkan Dari Skuad B-23 Tahun Negara

 

Sumber