Middlesbrough kini bergelar giant killer, selepas menyingkirkan satu lagi pasukan Liga Peradana Inggeris dalam saingan Piala FA. Sebelum ini skuad bimbingan Chris Wilder menyingkirkan Manchester United.

Dan kali ini Tottenham Hotspur menjadi mangsa mereka dengan gol kemenangan pada masa ekstra.

Spurs berkunjung ke kubu Middlesbrough. Perlawanan pada awalnya bermula dengan seimbang walaupun Spurs memiliki sedikit kelebihan penguasaan bola.

Spurs berdepan dengan masalah kreativiti di hadapan gol. Mereka gagal memberikan servis yang lebih baik kepada Kane dan Son Heung Min di barisan hadapan.

Separuh masa pertama berakhir dengan tanpa jaringan.

Pada separuh masa kedua, Harry Kane hampir meletakkan Tottenham di hadapan. Selepas berlaku insiden tarik menarik di dalam kotak penalti, Kane melepaskan diri dan menolak masuk sepakan penjuru Son Heung Min pada minit ke-59.

Malangnya, gol itu dibatalkan kerana ofsaid!

Middlesbrough mendapat peluang pada minit ke-65. Pengadil memberikan mereka sepakan percuma dan Marcus Tavernier dan Jonny Howson mencuba perancangan licik. Tetapi gagal untuk menerjah gawang.

Spurs kemudian meningkatkan lagi ancaman mereka. Pada minit ke-82, Steven Bergwijn menembusi benteng Boro dan berlari ke arah gol. Namun pergerakannya dihalang oleh terjahan cemerlang dari Paddy McNair.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa kedua. Piala FA musim ini tidak menggunakan sistem aksi timbal balik jika terikat, jadi pelawanan diteruskan ke masa ekstra.

Peluang keemasan baharu tercipta menjelang penghujung separuh masa pertama. Mula-mula dimulakan oleh Tavarnier, yang mendapat bola daripada rakan sepasukan di dalam kotak penalti Tottenham. Tetapi Hugo Lloris cemerlang menafikannya.

Dua minit kemudian, pada minit ke-17 masa ekstra, giliran Tottenham pula untuk mendapatkan peluang. Hantaran Dejan Kulusevski disambar oleh Son Heung-min, tetapi Joe Lumley dengan pantas menghalangnya.

Tidak lama selepas separuh masa kedua masa ekstra bermula, Middlesbrough menggembirakan penyokong mereka dengan gol yang dijaringkan oleh Josh Coburn.

Berpunca daripada bola hantaran daripada Matt Crooks, Coburn terus merembat masuk ke gawang Hugo Lloris.

Spurs gagal membalas gol itu dan Middlesbrough mara ke pusingan seterusnya. Spurs sekali lagi secara rasminya menamatkan musim tanpa piala untuk 15 musim berturut turut.

Sebelum ini mereka disingkirkan daripada Piala Persidangan Eropah kerana gagal menyediakan pasukan pada hari perlawanan.

Jamie O’Hara menyatakan dia sudah letih menjadi penyokong Spurs: “Bagaimana kamu sebelum ini menewaskan City kemudian kalah kepada Burnley, menang ke atas Leeds dan kalah kepada Boro?”