Bekas penyerang skuad kebangsaan England, Micheal Owen dilihat lebih memilih Liverpool untuk menewaskan Real Madrid pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2021/22 yang berlangsung di Stade de France, awal pagi Ahad nanti.

Pernah beraksi bersama kedua-dua pasukan, Owen beranggapan Liverpool pada ketika ini merupakan lawan yang terlalu bagus untuk dihadapi Real Madrid.

Liverpool mara ke final buat kali ke-10 selepas menundukkan Villarreal menerusi agregit 5-2 manakala Real Madrid pula mempamerkan kebangkitan hebat untuk menewaskan satu lagi wakil England, Manchester City dengan keputusan 6-5.

Dengan kedua-dua pasukan memiliki jentera serangan yang cukup ampuh, ia memberikan gambaran jelas bahawa perlawanan akhir di Paris itu akan berlangsung sengit.

“Saya merasakan Liverpool lebih baik berbanding Real Madrid,” ujar Owen menurut sumber laporan Marca.

“Mereka [Liverpool] mampu untuk mencatatkan kemenangan 3-1 atau 3-0 ke atas Real Madrid. Itu merupakan ramalan saya.”

“Saya berfikir mereka mampu untuk menewaskan Real Madrid dengan aksi cukup meyakinkan kerana mereka merupakan pasukan yang begitu luar biasa pada ketika ini dan terlalu bagus buat Real Madrid.”

“Real Madrid baharu sahaja melakukannya dengan sangat baik untuk layak ke perlawanan akhir.”

“Saya yakin mereka percaya untuk bergelar juara setelah apa yang berlaku di peringkat kumpulan dan kemudiannya tentu sahaja ketika aksi luar biasa menewaskan Chelsea, bagaimana mereka mampu melakukannya.”

“Perlawanan menentang Manchester City benar-benar menakjubkan, tetapi Madrid juga begitu luar biasa dalam melepasi saingan ini. Tetapi saya berfikir Liverpool sangat berpengalaman dan sangat bagus.”

“Semua orang tahu saya menghabiskan separuh daripada hayat saya di Liverpool. Jangan salah sangka, saya turut menikmati tahun yang hebat [bersama Real Madrid], bertemu dengan beberapa orang yang hebat dan mempunyai pengalaman yang paling indah.”

“Ia merupakan satu penghormatan untuk memakai jersi putih di stadium tersebut [Santiago Bernabeu] dan saya menyukai setiap minit di sana. Tetapi sudah pasti saya akan memilih Liverpool [menjuarai UCL],” tambah Micheal Owen lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Bakal Penyerang Man City, Julian Alvarez ‘Mengganas’ Di Copa Libertadores

Jordi Amat Nafi Bakal Sertai Johor Darul Ta’zim

Senjata Rahsia Kim Pan-gon Cetus Tanda Tanya

Sumber