Penyerang pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mencipta sensasi dalam kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 apabila sudah meledakkan 11 gol hanya selepas empat perlawanan.

Lebih menarik untuk diperkatakan, 10 daripada gol tersebut dijelmakan oleh Azrai berikutan ketenangannya dalam menyudahkan peluang hasilĀ  jaringan padang.

Satu statistik yang sudah cukup untuk memperkatakan tentang kualiti hebat dimiliki pemain yang akan menjengah usia 24 tahun pada 3 Oktober itu.

Sekiranya ditinjau kembali aksinya dalam kempen liga yang bermula pada 9 Februari lalu, Azrai menjaringkan satu gol ketika TNB terikat 3-3 pada perlawanan pembukaan yang turut merupakan aksi merebut Piala Sumbangsih.

Beliau kemudiannya mencipta hatrik ketika bertemu TNB Thunderbolts dimana pada perlawanan tersebut Azrai menyempurnakan satu gol menerusi pukulan sudut penalti.

Pemain yang merupakan antara produk Sekolah Menengah Anderson, Ipoh ini sekali lagi sukar dibendung dengan lima gol yang berjaya diledakkannya ketika bertemu Nurinsafi Sporting pada Selasa lalu.

Kecemerlangannya itu berterusan lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam apabila dua lagi jaringan padang dihasilkannya untuk 11 gol sekali gus menjadikannya penjaring kedua terbanyak pada ketika ini, hanya ketinggalan satu gol dibelakang peledak berbisa pukulan sudut penalti negara, Razie Rahim.

Razie telah menjaringkan sembilan jaringan menerusi pukulan sudut penalti, dua hasil pukulan strok penalti dan satu jaringan padang.

Sementara itu rakan sepasukan Azrai Aizad yang merupakan ketua pasukan TNB, Syed Syafiq Syed Cholan di kedudukan ketiga dengan enam gol dimana kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti.

Kemampuan hebat Azrai dalam menyempurnakan peluang bukanlah perkara asing dalam kancah hoki negara pada ketika ini kerana beliau merupakan antara nama yang sering mendapat pilihan pengendali skuad negara, Arul Selvaraj.

Beliau bagaimanapun digugurkan daripada skuad negara ketika menghadapi Piala Dunia 2023 di India ekoran patang jari telunjuk tangan kirinya ketika sesi latihan.