Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan syarikat minuman, ORIGINA kini menjadi penaja baharu TM Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023 selepas menandatangani perjanjian.

ORIGINA merupakan sebuah syarikat tempatan yang kini berkembang pesat sejak ditubuhkan pada 2013 dan bakal dikenali sebagai Rakan Rasmi Minuman Jus dan Susu Liga Malaysia.

Menurut Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, kedatangan ORIGINA sebagai salah satu lagi penaja Liga Malaysia telah membuktikan ekonomi bola sepak domestik semakin rancak selaras dengan populariti Liga Malaysia.

Kata lagi Dato’ Ab Ghani, beliau optimis kehadiran ORIGINA bukan sahaja mampu memberikan pendedahan baik sebaliknya Rakan Rasmi Minuman Jus dan Susu Liga Malaysia itu mampu menyerikan lagi suasana bola sepak negara khususnya saingan TM Piala Malaysia yang akan bermula pada 26 Oktober 2022.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang kepada ORIGINA dan selaku wakil MFL, kami sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan ORIGINA.

“Kehadiran ORIGINA telah memberikan satu mesej penting di mana syarikat ini menaruh keyakinan tinggi kepada Liga Malaysia yang sentiasa memberikan potensi serta pendedahan positif bukan sahaja kepada produk mereka tetapi penglibatan mereka di dalam liga tempatan,” kata Dato’ Ab Ghani

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalimgam berkata: “Kerjasama MFL dan ORIGINA bukan sahaja menunjukkan perkara positif sebaliknya ia bakal menjadi satu penanda aras yang baik khusus daripada sektor ekonomi.

“Kami berbangga kerana kami mempunyai satu lagi jenama Malaysia yang memanfaatkan capaian yang boleh ditawarkan oleh Liga Malaysia. Dengan lebih banyak jenama baharu yang pada tradisinya tidak bersama bola sepak sudah mula menyertai Liga Malaysia, kami percaya Liga Malaysia kini membuktikan bahawa kami mempamerkan nilai korporat sebenar yang diperlukan dalam penajaan sukan moden.

“Kami percaya kerjasama dengan Origina akan memartabatkan bola sepak Malaysia dan kami juga teruja untuk mengembalikan nilai positif kepada Origina dan mengukuhkan lagi jenamanya menerusi aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan untuk mendekatkan lagi produk-produk mereka kepada peminat kelab Liga Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ORIGINA, Fatin Diana berkata, ORIGINA berbangga menjadi pemain ke-12 untuk semua pasukan bola sepak Liga Malaysia, khususnya dari segi menyampaikan sokongan penting melalui penyediaan minuman yang terbaik bermula dengan kejohanan terunggul TM Piala Malaysia 2022 dan seterusnya Liga Malaysia musim depan.

“Kerjasama antara MFL dan ORIGINA merupakan satu detik besar bagi kami kerana ini merupakan kerjasama pertama kami dalam bidang sukan. MFL merupakan organisasi yang mengendalikan kejohanan bola sepak berprestij di Malaysia, maka kerjasama ini membuka peluang kepada kami untuk melibatkan diri dengan khalayak yang baharu dan melebarkan sayap ORIGINA di kalangan rakyat Malaysia.

“ORIGINA komited dalam memastikan semua rakyat Malaysia sentiasa kekal sihat dan bertenaga, kami terus berusaha dan kekal berdaya saing bagi menyediakan minuman yang bermanfaat dan penuh khasiat kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan MFL dan bertemu dengan penonton bola sepak Malaysia daripada pelbagai golongan. Pentas bola sepak Malaysia semakin gemilang dan meriah, ORIGINA juga komited dalam menyampaikan semangat dan cinta yang sama.

“Kami juga berharap ORIGINA akan menjadi minuman yang ideal untuk membantu menyegarkan bukan hanya pemain bola sepak malah atlet negara kita yang komited semasa latihan intensif untuk meningkatkan tahap prestasi permainan mereka,” katanya.