Pemain Pahang FA, Mohamadou Sumareh yang juga pemain naturalisasi pertama Malaysia sah tidak dibenarkan untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia sehingga tahun 2023.

Walaupun sudah menerima kewarganegaraan Malaysia dan layak mewakiili skuad kebangsaan, pemain kelahiran Gambia itu masih belum menepati kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingan memberitahu kepada Berita Harian bahawa pemain yang bukan berdarah kacukan perlu memegang taraf kewarganegaraan selama minimum 5 tahun sebelum layak didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia.

sumareh

Menurut Kevin lagi, ia bukanlah sesuatu yang baru kerana pengumuman kelayakan serta kriteria ini sudah dikeluarkan.

“Kita sudah keluarkan peraturan dan membuat pengumuman mengenai kelayakan dan kriteria yang diperlukan untuk seseorang pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan sebelum ini dan ini bukanlah satu peraturan yang baharu.

Terbuka Untuk Cadangan Serta Kajian Semula

“Apapun, jika ada cadangan atau rayuan untuk mengkaji semula kriteria ini, sekretariat boleh membawa perkara ini untuk dibentangkan kepada Lembaga MFL sebelum mereka membuat apa apa keputusan mengenainya.

“Namun, buat masa ini tiada permintaan untuk kita mengkaji semula kriteria dan peraturan yang sudah ditetapkan. Setakat ini, kita belum mengubah kriterianya dimana pemain perlu memegang kerakyatan selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Piala Cabaran 2018 yang berlangsung di sini, hari ini.

Jika Tidak Dikawal, Mampu Membunuh Masa Depan Pemain Tempatan

“Keputusan lembaga MFL sebelum ini adalah membenarkan pemain berdarah kacukan dan selepas kita mengambil tindakan ini, mungkin hanya 50 ke 100 pemain berdarah kacukan yang ada kaitan dengan negara ini.

“Namun jika kita buka kepada pemain yang tiada hubungan langsung dengan negara ini, ia boleh jadi begitu besar dan tidak terkawal. Jadi kita perlu mengambil tindakan sebegini untuk memastikan masa depan pemain tempatan terjaga,” katanya.

Sumber