Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan kemaskini kalendar pertandingan Liga Malaysia 2022 dengan penyelarasan semula baki perlawanan Liga Malaysia musim ini.

Keputusan itu diambil selepas melakukan penelitian dan pertimbangan berdasarkan penyertaan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta penglibatan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC dalam kancah Piala AFC.

Ketiga-tiga kelab berkenaan telah berjaya meneruskan cabaran dalam pertandingan antarabangsa itu sekali gus memberikan impak bukan sahaja kepada perjalanan Liga Super dan Piala FA 2022 malah latihan pasukan kebangsaan pada September 2022.

JDT telah layak ke peringkat kalah mati dalam pertandingan ACL 2022 dan dijadualkan bertemu kelab Jepun, Urawa Red Diamonds dalam pusingan 16 pasukan terbaik pada 18 Ogos manakala KDA FC telah layak separuh akhir Piala AFC peringkat Zon Asean bersama KL City FC pada 9 dan 10 Ogos 2022.

“MFL terpaksa membuat penyelarasan lebih awal berhubung jadual Liga Malaysia 2022 dengan mengambil kira kemungkinan JDT, KDA FC dan KL City FC akan melangkah ke pusingan seterusnya selepas ini pada 22 hingga 25 Ogos 2022.

“Selain itu perubahan kalendar Liga Malaysia kali ini turut melibatkan perancangan pasukan kebangsaan untuk mengadakan latihan pusat serta tempoh ‘FIFA Days’ pada September depan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Piala AFF pada Disember 2022 dan juga Piala Asia 2023,” kata kenyataan MFL.

Faktor terakhir yang diambil kira MFL adalah membabitkan Perlawanan Peringkat Suku Akhir, Separuh Akhir dan Perlawanan Akhir Piala FA 2022 di mana berdasarkan undian yang telah dilaksanakan pada 4 Julai 2022, semua kelab yang layak ke peringkat Suku Akhir dijadualkan bermain pada 23 Julai 2022 nanti.

Perancangan jadual Perlawanan Peringkat Separuh Akhir Piala FA 2022 pula dijadualkan pada 5, 6 dan 7 Ogos 2022 (tertakluk kepada kelayakan Kelab ke peringkat seterusnya) dan Perlawanan Akhir Piala FA 2022 akan dijadualkan pada 28 Ogos 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Saddil Ramdani Bakal Sertai Dinamo Minsk Musim Depan?

Ifedayo ‘Tibai’ Selangor 2-0 Selepas Pulih Daripada Kecederaan Hamstring

Aksi Faisal Halim ‘Menganjing’ Penjaga Gol Sri Pahang Curi Tumpuan

MFL Kaji Cadangan Sepak Mula Liga Malaysia Pada Waktu Petang