Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyatakan mereka semakin hampir untuk mendapatkan penaja baharu sekaligus menyelesaikan masalah bayaran geran tahunan kepada pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata pihaknya kini hanya menunggu penaja dari dalam dan luar negara untuk menyalurkan bayaran hak penyiaran seperti yang dipersetujui oleh pihak penaja dan badan tersebut sebelum ini.

Menurut Kevin, pengumuman mengenai penaja baharu Liga Malaysia musim ini akan diumumkan apabila pengstrukturan semula pengagihan hak penyiaran selesai dalam masa terdekat.

Kevin Ramalingam
Sumber Gambar: MFL

“Kita perlu beri masa kepada pelabur terbabit untuk menyalurkan dana kepada MFL kerana ia membabitkan nilai jutaan ringgit. Penyelesaian sudah ada, namun agak sukar bagi mereka untuk mengeluarkan cek bernilai jutaan ringgit memandangkan ia bukan satu daripada bajet yang dirancang penghujung tahun lalu.

“Kita memberikan ruang kepada pelabur dan apa yang boleh saya katakan agihan tahun ini tidak lebih daripada dahulu iaitu RM3 juta untuk Liga Super dan RM1 juta Liga Perdana, pada masa akan datang sudah tentu angka berkenaan boleh meningkat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sebelum ini, pasukan bertanding meluahkan keluhan mereka lantaran belum menerima geran tahunan seperti yang dijanjikan sebelum saingan Liga Malaysia musim 2019 bermula.

Tambah Kevin, pasukan yang bertanding berkemungkinan besar akan mendapat bayaran hak penyiaran lebih tinggi bergantung kepada jumlah pembayaran yang diperoleh daripada pelabur.