Bagi meningkatkan lagi kualiti Liga Malaysia , Malaysian Football League (MFL) bakal menawarkan perkhidmatan statistik pemain dan perlawanan secara percuma kepada pasukan yang bertanding bermula kempen musim 2019.

Selaras dengan kemajuan bola sepak era moden, MFL komited untuk membantu 24 pasukan Liga Super dan Liga Perdana menerusi kerjasama dengan Fanskick.com yang menyediakan statistik daripada InStat.

Pengenalan sistem perkongsian statistik ini dijangka dapat membantu jurulatih-jurulatih Liga Malaysia dalam persiapan mereka untuk membentuk pasukan yang lebih baik sebelum mengharungi sesuatu perlawanan.

Menurut ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan memuji pendekatan baharu yang diperkenalkan MFL ini yang mana beliau optimis kesemua pengendali di Liga Malaysia pasti gembira dengan pengenalan statistik secara percuma pada musim ini.

“Ini adalah langkah yang seharusnya disambut dengan positf. Sudah pasti sebagai jurulatih, pemberian statistik ini memudahkan tugas kami dalam memantau perkembangan, potensi dan pergerakan pemain dengan lebih efektik,” katanya.

Lebih menarik, statistik ini bukan saja memberi manfaat kepada jurulatih pasukan Liga M malah kepada pengendali kebangsaan dalam memantau prestasi pemain.

Menurut ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe, pengenalan sistem statistik ini akan memberikan impak lebih positif kepada pasukan kebangsaan dalam usaha mengintai pemain-pemain berpotensi untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Saya menyambut baik dengan kaedah ini di mana saya sendiri tidak dapat untuk turun ke semua venue bagi menilai setiap persembahan pemain.

“Dengan pengenalan sistem ini ia memberikan saya lebih banyak input lebih tepat dalam usaha memilih pemain-pemain untuk diserapkan bersama pasukan kebangsaan.

“Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk memuji langkah MFL yang sentiasa berusaha keras membantu meningkatkan kualiti Liga Malaysia dan saya berharap sistem ini akan kekal lebih lama bagi memudahkan tugas setiap jurulatih,” tambah Cheng Hoe.

Dalam kaedah ini, jurulatih pasukan negeri atau kelab akan diberikan statistik mengikut prestasi pasukan masing-masing manakala pengendali pasukan kebangsaan memiliki akses untuk mendapatkan data kedua-dua pasukan terbabit.

Setiap pasukan akan menerima statistik pemain dan perlawanan secara terperinci dalam tempoh 48 jam selepas InStat mendapat video setiap perlawanan.

Dalam statistik itu, setiap jurulatih akan diberikan laporan terperinci antaranya peratusan hantaran tepat, jumlah hantaran, minit perlawanan, stamina pemain dan lain-lain berdasarkan video perlawanan yang telah diproses.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group