MFL dalam taklimatnya mengesahkan bahawa mereka sedang dalam proses untuk menggunakan teknologi VAR dalam Liga Malaysia.

Namun perlaksanaannya tidak akan segera pada awal musim 2023. Ini kerana ianya memerlukan latihan dan beberapa siri ujian terhadap teknologi tersebut.

MFL mengakui bahawa perkara itu juga sudah disahkan oleh FAM dan juga TMJ sebelum ini.

Beberapa minggu lalu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan video bantuan pengadil (VAR) akan mula diperkenalkan pada tahun ini di Liga Malaysia.

Namun begitu beliau menegaskan bahawa VAR tidak akan digunakan menyeluruh pada musim ini. Ianya diwar warkan akan digunakan dalam aksi kalah mati pertandingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Datuk Hamidin berkata: “Sebenarnya perbincangan sudah pun diadakan bersama Pengerusi Malaysian Football League (MFL) Datuk Abd Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

“InsyaAllah kita akan membuat satu pengumuman menerusi Jawatankuasa Pengadil MFL dan kita akan bermula tahun ini kalau semuanya berjalan dengan lancar.

“Tetapi bukan untuk semua perlawanan, mungkin contoh kita mulakan tahun ini untuk VAR ini bermula dengan suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia

“Kita akan berterusan jadi perkara ini tidak boleh bermula dengan liga kerana melibatkan kos,” ujar Hamidin lagi.

Lim Teong Kim
Datuk Hamidin Mohd Amin

Tambah Hamidin lagi, FAM juga telah menghantar pengadil keluar negara untuk menjadi jurulatih VAR.

“Jadi kita harapkan peminat semua bersabar,” tegasnya yang memaklumkan kos VAR akan ditanggung bersama dengan MFL.

Sebelum itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa FAM dan MFL sebenarnya sudah mencapai kesepakatan tentang penggunaan VAR dalam Liga Malaysia pada musim 2023.

Jadi, Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa, Liga Malaysia berada di landasan untuk penggunaan VAR. MFL malah sedang berbincang dengan pembekal kepada VAR yang merupakan teknologi yang dipatenkan oleh FIFA.

Stuart turut menyatakan bahawa ketika ini, ianya memerlukan pegawai pegawai dan pengadil yang memiliki latihan yang secukupnya untuk menggunakan sistem tersebut.

Persiapan tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur VAR semata mata. tetapi turut merangkumi ilmu pengendalian VAR di kalangan pengadil dan pegawai perlawanan.

Latihan dan persiapan tersebut mengambil masa dalam 6 – 7 bulan. Jadi MFL menyatakan bahawa mereka sedang bergerak aktif dalam memastikan VAR akan dapat digunakan pada peringkat terakhir Piala Malaysia pada musim ini.

Kerana agak sukar untuk melaksanakan VAR pada pertengahan musim di Liga Malaysia.

MFL juga optimis bahawa VAR akan dapat digunakan sepenuhnya pada 2024 sebaik sahaja semua sesi ujian, dan latihan dapat diselesaikan pada musim ini.

Stuart Ramalingam memberitahu bahawa pihak FAM bergerak pantas dalam mempersiapkan pegawai pegawai mereka agar berkelayakan mengendalikan VAR.

Stuart pada sidang media yang sama menjelaskan bahawa MFL juga sedar akan kos penggunaan VAR yang sangat mahal.