Penganjur liga bola sepak Malaysia, Malaysian Football League (MFL) sebentar tadi telah membuat keputusan untuk menyalurkan sejumlah RM100,000 bagi membantu pemain dan pegawai Sarawak United FC yang mengalami masalah tunggakan gaji.

Keputusan menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-4 Bagi Penggal 2021-2025 yang dipengerusikan oleh Presiden Dato’ Ab Ghani Hassan semalam itu dibuat bagi meringankan beban yang dipikul oleh pemain dan pegawai terlibat.

“Berdasarkan laporan yang MFL terima daripada PFAM, barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam bersetuju sebulat suara untuk mengambil tindakan segera memotong dana hak penyiaran Sarawak sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai yang mengalami masalah tunggakan gaji.

“Pembayaran kepada pemain Sarawak United FC yang terlibat akan disalurkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Pemain Sarawak United Sudah 4 Bulan Tidak Terima Gaji

“MFL memandang serius isu tunggakan gaji yang berlaku melibatkan Sarawak United.”

“Justeru MFL mengarahkan Sarawak United untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa hari ini dan seandainya gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil di mana kemungkinan slot bertanding di TM Piala Malaysia tahun ini tidak akan diberikan,” jelas Ghani dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan MFL.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, para pemain dan pegawai pasukan tangga ke-11 Liga Super Malaysia 2022 itu sudah memasuki empat bulan tidak menerima gaji walaupun pihak pengurusan berjanji untuk membuat pembayaran.

Kredit Featured Image: Sarawak United FC Official