Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah bersedia untuk memperkenalkan Program Kawalan Ekonomi (ECP) dalam usaha merangsangkan ekonomi lebih baik dan lebih penting untuk memperbaiki mutu liga bola sepak tempatan.

MFL berhasrat untuk mengadaptasi dan menyesuaikan ECP yang diperkenalkan oleh La Liga untuk dilaksanakan di Liga Malaysia.

Tujuan ECP adalah untuk mewujudkan peraturan belanjawan, kriteria, prosedur dan templat bagi kelab-kelab bola sepak di Malaysia bagi mematuhi peraturan selain mengelakkan mereka berbelanja secara berlebihan berdasarkan kemampuan mereka.

Salah satu objektif utama ECP adalah memastikan bahawa pasukan hanya dibenarkan berbelanja berdasarkan keupayaan kewangan mereka dan tidak merekrut pemain pada kos yang tinggi jika mereka tidak mampu berbuat demikian daripada segi kewangan.

MFL telah menjalin kerjasama dengan La Liga dan bersedia mendapat bimbingan daripada wakil Eropah itu untuk menjayakan ECP di Liga Malaysia bermula musim depan.

Awal tahun ini, pegawai tertinggi MFL yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam telah menghadiri bengkel di ibu pejabat penganjur Liga Sepanyol bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai bagaimana La Liga berjaya membangunkan ECP mereka.

Ivan Codina
Sumber Gambar: MFL

Seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Urusan La Liga Asia Tenggara, Ivan Codina, ECP memiliki tiga peringkat utama bermula daripada peringkat pertama adalah menjelaskan implikasi peraturan kepada pasukan serta manfaat jangka panjang yang boleh diperolehi.

Disusuli tahap kedua pula akan melibatkan pelaksanaan penuh kawalan ekonomi dengan denda kepada pasukan yang gagal mematuhi peraturan dan peringkat terakhir adalah untuk memastikan semua pasukan tidak lagi mempunyai masalah dalam mematuhi resolusi baharu untuk kepentingan semua para pemain.

Tiga peringkat utama ini adalah sangat penting kerana setiap pasukan perlu diberi penjelasan yang tepat mengenai ECP sehingga mereka memahami sepenuhnya peraturan dan denda yang akan dikenakan sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan.

Apa yang pasti, Liga Malaysia bakal menjadi liga kedua yang menggunakan pendekatan yang digunapakai oleh La Liga dalam usaha membantu ekonomi bola sepak.

Justeru, MFL telah menjalankan proses tender terbuka dan selepas pertimbangan teliti, MFL telah bersedia memutuskan untuk melantik PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn Bhd (PwC Malaysia) untuk membangunkan ECP di Liga Malaysia.

Kini, MFL bersama-sama dengan PwC Malaysia berhasrat untuk bekerja rapat dengan semua kelab rakan kongsi kami untuk membangunkan peraturan-peraturan yang sesuai untuk meningkatkan prestasi kewangan kelab-kelab.

Projek itu dijangka dimulakan pada Julai 2019 dan peraturan-peraturan itu disasarkan untuk diumumkan pada hari terakhir musim ini, sebaik ia diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.