Malaysian Football League (MFL) hari ini melancarkan logo baharu pertandingan-pertandingan dalam Liga Malaysia yang akan mula digunakan bagi musim 2023.

Perubahan pada logo Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA, MFL Challenge Cup dan Piala MFL cukup signifikan selari dengan penstrukturan Liga Malaysia musim ini.

Logo yang dipaparkan untuk enam pertandingan ini sebagai usaha MFL untuk menyuntik nafas baharu kepada saingan Liga Malaysia.

Saingan Liga Malaysia 2023 bakal menjanjikan aksi lebih menarik apabila enam trofi kejuaraan akan menjadi rebutan musim ini bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Perlawanan Sumbangsih), Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).

Liga Malaysia 2023

Penstrukturan baharu Liga Malaysia bermula tahun ini menyaksikan pertandingan Liga Simpanan yang dikenali sebagai Piala MFL diadakan buat kali pertama manakala MFL Challenge Cup dipertandingkan semula selepas tiga tahun sejak dianjurkan pada 2018 dan 2019.

Sejumlah 14 kelab akan merebut kejuaraan dalam saingan Liga Super 2023 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC, Penang FC, Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, PDRM FC dan Perak FC.

Manakala bagi saingan Piala MFL akan disertai skuad bawah 23 tahun daripada kelab Liga Super serta satu pasukan daripada Skuad Projek FAM-MSN.