Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan mengumumkan juara Liga Super bagi musim 2021 secara automatik bakal memperolehi tiket ke pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada tahun 2022.

Jelas Dato’ Ab Ghani, dua slot automatik untuk beraksi di Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2022 pula akan diberikan kepada juara TM Piala Malaysia dan naib juara Liga Super.

Katanya lagi, Liga Malaysia masih kekal memperolehi slot 1+2 daripada AFC di mana satu kuota bagi ACL dan dua pasukan bertanding untuk Piala AFC pada musim hadapan.

“Liga Malaysia masih mendapat slot 1+2 (ACL dan Piala AFC) daripada AFC dan ini jelas merupakan satu perkara positif kepada liga tempatan kita untuk beraksi dalam pertandingan yang cukup kompetitif melibatkan pasukan-pasukan dari Asia dan Asia Tenggara.

“Seperti biasa, juara Liga Super akan mendapat slot ke ACL dan amalan sebelum ini menyaksikan juara Piala FA dan naib juara Liga Super memperolehi slot ke Piala AFC secara automatik.

“Bagaimanapun disebabkan pandemik COVID-19 telah banyak merencatkan perancangan MFL di mana tahun ini merupakan tahun kedua penganjuran Piala FA terpaksa dibatalkan, MFL telah memutuskan bahawa juara TM Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2021 akan mendapat slot ke Piala AFC bagi musim 2022,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani memberitahu slot Piala AFC hanya menjadi milik pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super jika pemenang TM Piala Malaysia merupakan juara atau naib juara Liga Super 2021.

“Jika pemenang TM Piala Malaysia adalah pasukan yang telah menjuarai Liga Super atau pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super, maka baki satu slot Piala AFC itu akan menjadi milik pasukan yang berada di tempat ketiga Liga Super 2021,” ujarnya.

Johor Darul Ta’zim (JDT) yang beraksi dalam ACL 2021 sekali lagi menempah tiket ke kejohanan kelab elit Asia itu tahun depan selepas mengesahkan kejuaraan Liga Super 2021 dengan menewaskan Sri Pahang FC 3-0 malam tadi untuk mengumpul 51 mata daripada 20 perlawanan bagi menjulang trofi buat kali kelapan berturut-turut.

Manakala dua tiket ke Piala AFC 2022 masih terbuka untuk direbut oleh pasukan lain di mana Kedah Darul Aman FC memperolehi slot automatik ke kejohanan itu tahun ini atas kapasiti sebagai naib juara Liga Super 2020.

Manakala satu baki slot Piala AFC 2021 diberikan kepada Terengganu FC yang menduduki tempat ketiga Liga Super 2020 selepas kejohanan TM Piala Malaysia terpaksa dibatalkan ekoran keputusan kerajaan ketika itu tidak membenarkan TM Piala Malaysia berlangsung sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Menyertai AFC Satu Kesilapan Besar Australia, Kita Mundur Dari Segenap Sudut Dan Habiskan Duit Begitu Saja.”

TRW Kelantan FC Dedahkan Berjaya Jana Lebih RM500,000 Dari Hasil Jualan Dan Barangan Rasmi Kelab

Park Hang-seo Ada 6 ‘Assistant’ Dari Korea Selatan Demi Persiapan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2022

Sumber