Merujuk laporan akhbar tempatan bertajuk ‘Selidik dulu’ bertarikh 15 Januari 2019, Malaysian Football League (MFL) menafikan kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Datuk Kamarudin Hassan.

Kamarudin dalam artikel itu menyatakan bahawa MFL bersedia mengambil tindakan dengan menyekat geran tahunan KLFA tanpa meminta sebarang penjelasan daripada pihak mereka berkenaan isu KLFA tidak membayar gaji pemain susulan pendedahan bekas pemain, Syazwan Andik.

Bagaimanapun MFL telah mengeluarkan kenyataan yang dikeluarkan dalam satu laporan akhbar tempatan bertajuk ‘KLFA berdepan pemotongan geran’ bertarikh 14 Januari 2019.

Dalam laporan itu, MFL menuntut penjelasan terperinci daripada KLFA sebelum kes berkenaan di bawa ke Ahli Lembaga Pengarah untuk mengambil tindakan termasuk menyekat pemberian geran tahunan sebagai cagaran untuk mereka melangsaikan sebarang tunggakan.

Ini kerana MFL sentiasa konsisten dengan keputusan yang diambil sepanjang dua tahun ini dan mengenakan denda dan memotong mata pasukan yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan dalam Liga Malaysia.

Malah bagi pendaftaran pasukan musim ini juga, MFL sudah mengumumkan untuk menyekat
pembayaran geran tahunan kepada pasukan baharu Liga Premier, Perlis selagi belum menjelaskan tunggakan gaji dalam tempoh 60 hari daripada tarikh yang ditetapkan hanya selepas mendapat penjelasan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).