Ekoran penarikan diri Kuantan FA dari saingan 100PLUS Liga Premier 2018 serta Felcra FC dari dipromosikan ke unifi Liga Super 2019, pihak MFL perlu mengisi satu slot di unifi Liga Super 2019 dan tiga slot di Liga Premier 2019.

Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) telah membuat keputusan mengenai pasukan Liga Malaysia 2019 seperti berikut;

1. Promosi Satu Pasukan Gantian ke unifi Liga Super 2019

Pada musim 2018, dua pasukan mengalami relegasi dari pertandingan unifi Liga Super iaitu Kelantan dan Negeri Sembilan. Dua pasukan yang menduduki tangga teratas 100PLUS Liga Premier iaitu Felda United FC dan Felcra FC telah memenangi hak promosi ke unifi Liga Super 2019.

Malangnya pasukan Felcra FC tidak dapat meneruskan penglibatan mereka dalam pentas Liga Malaysia untuk musim 2019, jadi satu lagi pasukan perlu diberi peluang untuk promosi bagi mencukupkan korum pasukan unifi Liga Super 2019.

Keputusan
Mengikut carta kedudukan 100PLUS Liga Premier 2018, pasukan MIFA telah menyandang tempat ketiga dan telah diberi keutamaan untuk mengambil tempat di unifi Liga Super 2019.

Walau bagaimanapun, pasukan MIFA harus memenuhi lapan (8) kriteria bagi membolehkan pasukan tersebut beraksi ke kancah unifi Liga Super Malaysia 2019.

Dokumen-dokumen berkaitan telah diserahkan oleh MIFA kepada MFL dalam jangka masa yang efisien.

Pasukan MIFA telah membuat usaha yang baik untuk mematuhi keperluan MFL dan telah menunjukkan rancangan masa depan yang jelas seperti menetapkan mereka dalam komuniti dan pelan untuk meningkatkan hubungan bersama penyokong. MIFA juga telah memperoleh pelaburan baharu dan kami berharap bahawa pelaburan ini bakal membantu pasukan MIFA menjadi lebih stabil pada masa yang akan datang.

Selepas pertimbangan, Lembaga Pengarah MFL telah mengambil keputusan untuk mempromosikan pasukan MIFA ke unifi Liga Super Malaysia 2019.

2. Promosi Pasukan ke Liga Premier 2019

Dalam pertandingan 100PLUS Liga Premier 2018, pasukan Kuantan FA telah dilucutkan hak bertanding di pertengahan musim atas beberapa perlanggaran peraturan. Pada hujung musim pula, pasukan Terengganu FC II telah mengalami relegasi sebagai pasukan yang menduduki tangga terbawah 100PLUS Liga Premier 2018. Hanya satu pasukan mengalami relegasi setelah Kuantan FA dikeluarkan dari pertandingan lebih awal.

Keputusan
Pihak FAM yang menguruskan Piala FAM 2018 berhak memilih dua pasukan untuk promosi secara automatik ke Liga Premier 2019. Kebiasaannya, pihak FAM akan memajukan juara dan naib juara Piala FAM sebagai calon promosi.

Tapi, untuk musim ini, FAM telah mencadangkan;
1. Pasukan Selangor United sebagai naib juara Piala FAM 2018
2. Pasukan Terengganu FC II sebagai juara Challenge Cup 2018

Pencalonan ini adalah berdasarkan juara Piala FAM 2018, Terengganu City FC menghadapi masalah dan melanggar beberapa peraturan berkaitan dengan kewangan dan pembayaran dan oleh itu tidak dapat dicalonkan untuk promosi ke Liga Premier 2019. Pencalonan pihak FAM ini telah diberi pertimbangan dan telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah MFL.

3. Pasukan Tambahan ke Liga Premier 2019

Dengan penarikan diri Felcra FC pula untuk saingan unifi Liga Super 2019, serta promosi pasukan MIFA, maka satu lagi slot perlu diisi untuk Liga Premier 2019.

Keputusan
Pasukan-pasukan yang bakal mengisi slot tambahan ini dari Piala FAM 2018 telah diberi peluang untuk memajukan dokumen-dokumen berkaitan untuk pertimbangan. Dokumen tersebut telah dimajukan ke pihak MFL oleh FAM dan perhatian telah diberikan kepada viabiliti serta impak pasukan pilihan untuk promosi ini dalam Liga Premier 2019 dan bagi keseluruhan Liga Malaysia.

Setelah pertimbangan diberikan, Lembaga Pengarah MFL mengambil keputusan untuk mempromosikan pasukan Perlis FA ke Liga Premier Malaysia 2019 dengan beberapa syarat.

Perjumpaan telah diadakan bersama Datuk Ahmad Amizal Shaifit, Presiden Perlis FA, di Wisma FAM, dimana pihak MFL diwakili Ketua Pengarah Operasi Kevin Ramalingam dan pihak FAM diwakili Setiausaha Agung Stuart Ramalingam. Pihak Perlis FA telah dimaklumkan bahawa promosi ini bersyarat bahawa pihak Perlis FA perlu menyelesaikan masalah tunggakan yang sedia ada.

Harus diingat bahawa kepimpinan Perlis FA yang baru telah mengambil alih pengurusan tanpa pengetahuan atau rekod mengenai tunggakan ini. Rekod ini telah diberikan oleh pihak FAM baru-baru ini untuk perhatian kepimpinan Perlis FA yang baru dan dalam perjumpaan bersama semalam, Presiden Perlis FA sendiri telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan memberi komitmen bahawa isu ini akan diselesaikan.

Walau apapun, persetujuan bersama telah dicapai dimana agihan kewangan dari MFL kepada Perlis FA untuk musim 2019 akan ditahan oleh pihak MFL dan pihak Perlis FA diberi tempoh masa 60 hari untuk melangsaikan segala bayaran tertunggak. Jika Perlis FA gagal untuk melangsaikan hutang tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan, Perlis FA tidak akan menerima pengagihan dana dari MFL dan agihan ini akan digunakan untuk menyelesaikan
tunggakan tersebut.

Dengan cara ini, isu tunggakan gaji Perlis FA yang diwar-warkan kebelakangan ini sudah pasti akan selesai.

Sebagai usaha MFL untuk memastikan isu tunggakan diselesaikan dengan lebih efisien, tindakan untuk memegang/menahan pengagihan dana dari pasukan adalah amalan yang akan dilakukan dengan lebih meluas lagi jika mana-mana pasukan ada kes tunggakan bayaran yang sudah diputuskan oleh pihak FAM, NDRC, AFC atau FIFA.

4. Rayuan pihak UKM FC

Pasukan UKM FC sebelum ini telah membuat rayuan bagi penolakan Lembaga Pengarah MFL penangguhan pengesahan penyertaan pasukan Liga Malaysia 2019, walau bagaimanapun telah ditolak oleh Lembaga Pengarah MFL pada 27 November 2018.

Pada tarikh 28 November 2018, UKM FC sekali lagi telah menghantar satu surat rayuan kepada MFL yang menyatakan sebab yang lebih teliti dan juga perancangan masa depan pembangunan bola sepak UKM FC.

Keputusan
Lembaga Pengarah MFL membenarkan rayuan kedua tersebut dan UKM FC dikekalkan di Liga Premier Malaysia 2019. Pihak UKM FC telah dikenakan denda dan diberi amaran untuk menguruskan garis masa dengan lebih efisien.

Pihak UKM FC juga telah diminta mengesyorkan penglibatan mereka untuk jangka masa panjang serta mengemukakan pelan struktur dan matlamat serta pelaksanaan untuk tahun tahun yang akan datang.

Pihak MFL juga ingin memuji kesungguhan pihak pengurusan UKM FC diketuai oleh Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali yang telah ditunjukkan setelah tindakan diambil oleh MFL.

Dengan komitmen dan kesungguhan ini pihak MFL berharap UKM FC akan terus maju sebagai komponen Liga Malaysia yang berharga.