Badan pentadbir liga, Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan secara dasarnya telah meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) untuk pertukaran status pemilikan Selangor United Football Club (SUFC) menjadi Sarawak United Football Club.

Menurut kenyataan daripada MFL, keputusan itu dicapai oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuarat semalam (12 Disember) selepas meneliti setiap dokumen dilampirkan dan mengesahkan FAS telah membuat pertukaran status pemilikan kelab itu mengikuti prosedur yang sah.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL telah menerima permohonan pertukaran pemilikan di antara SUFC dan Sarawak United di mana SUFC telah dimiliki sepenuhnya oleh FAS.

”Setelah membuat semakan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mengesahkan bahawa Sarawak United sudah membuat permohonan pendaftaran dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi proses pertukaran pemilikan ini. Jadi Ahli Lembaga Pengarah secara dasarnya meluluskan permohonan ini tertakluk kepada kelulusan daripada PJS dan SSM yang akan dikeluarkan nanti.

“Justeru Ahli Lembaga Pengarah turut membuat keputusan untuk memanjangkan tempoh pengesahan penyertaan pasukan pada 15 Disember ini kepada 23 Disember (7 hari bekerja) buat Sarawak United melengkapkan urusan pendaftaran musim depan.

“Menerusi keputusan ini, Sarawak United akan mengisi slot SUFC dengan menggunakan nama pasukan sebagai Sarawak United dan akan beraksi di Liga Premier musim 2020,” kata MFL dalam satu kenyataan rasmi.

Terdahulu, keputusan pertukaran pemilikan kelab telah dicapai dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah SUFC pada 22 November lalu di mana mereka telah sebulat suara untuk menyerahkan pengurusan kelab berkenaan kepada pemilik baharu iaitu FAS.

Sarawak United akan berpusat di Kuching.

Pertukaran status itu juga bakal menyaksikan kelab Liga Premier yang berpangkalan di Shah Alam itu akan beroperasi sepenuhnya di Kuching, Sarawak.

Dalam perkembangan sama, MFL mengesahkan bahawa pasukan Sarawak kekal bermain di Liga M3 pada tahun depan selepas pasukan itu menamatkan kempen di tangga ke-11 Liga Premier dan tewas pada aksi play off 3-1 kepada naib juara Liga M3, Kuching FA pada 23 November lalu.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah.

MFL Umum Tarikh Sepak Mula Liga Malaysia Musim 2020

Negeri Sembilan Diperkuatkan Tujuh Pemain Baharu Hadapi Liga Malaysia Musim 2020

Perak Cari Seorang Lagi Pemain Import Ganti Tempat Hussein El Dor