16 pasukan iaitu 11 pasukan dari Liga Super dan 5 pasukan dari Liga Premier bakal berentap dalam TM Piala Malaysia 2021 yang akan bermula pada 25 September ini.

Saingan Piala Malaysia musim lalu dibatalkan susulan peningkatan kes wabak pandemik COVID-19. Namun, edisi tahun ini dijangka berlangsung dengan lebih sengit kerana ia turut menawarkan satu slot ke Piala AFC 2022.

Justeru itu, bagi memeriahkan suasana perlawanan, Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan dalam satu ucapan Hari Malaysia yang ke-58 semalam mengesahkan pihaknya telah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapat kebenaran kemasukan penyokong ke dalam stadium.

MFL berharap agar saingan TM Piala Malaysia 2021 dapat diserikan dengan kehadiran penyokong yang sudah lengkap dua dos vaksin dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

“Ini kerana, TM Piala Malaysia mempunyai nilai cukup tinggi dalam sejarah bola sepak negara dan bersempena sambutan Hari Malaysia dan ulang tahun ke-100 piala keramat itu, pastinya sesuatu yang menarik jika penyokong-penyokong dibenarkan masuk ke stadium dengan kapasiti tertentu serta SOP yang ketat.

“Saya yakin bahawa peningkatan jumlah rakyat yang telah lengkap divaksinasi dapat memberikan impak positif dalam masa terdekat selain kita terus kekal berdisplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Melihat kepada kelonggaran yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam sektor sosial dan sukan, saya berharap agar permohonan MFL untuk mendapat kebenaran kemasukan penyokong ke stadium mendapat pertimbangan yang baik khususnya bagi memeriahkan saingan TM Piala Malaysia yang bakal bermula 25 September ini,” kata Ab Ghani dalam satu kenyataan rasmi di laman facebook MFL.

Sebanyak 48 perlawanan peringkat kumpulan akan dilangsungkan, lapan di peringkat suku akhir, empat bagi separuh akhir dan satu perlawanan akhir dengan jumlah keseluruhan adalah 61 perlawanan.

Saingan peringkat kumpulan akan berakhir pada 9 dan 10 November sebelum saingan suku akhir akan diadakan secara timbal balik pada 14 dan 18 November.

Aksi separuh akhir pada 22 dan 26 November juga secara timbal balik manakala perlawanan akhir bakal diadakan pada 30 November di venue berkecuali.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Baddrol Bakhtiar Muncul Sebagai Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan Liga Super 2021

Isu Pertukaran Pemain: Empat Pegawai Perlawanan Digantung Tugas Selama Tiga Bulan

Liga Super: Ifedayo Olesegun Pecahkan Rekod Mohamad Ghaddar