Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggesa tujuh pasukan yang dikenakan hukuman pemotongan geran agar tidak memainkan sentimen “mangsa keadaan” dan berhenti menyalahkan pihak lain bagi kesalahan yang mereka lakukan.

MFL menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam nyata kecewa dengan tuduhan kononnya MFL mengambil keputusan sesuka hati mengenai hukuman yang dikenakan terhadap 7 pasukan terbabit. Kevin menjelaskan pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan pasukan yang terlibat sebelum mengenakan hukuman.

Kevin Ramalingam
Sumber Gambar: Sports247.my

“Semasa perjumpaan itu, semua memahami hukuman berkenaan dan memahami keperluan untuk MFL konsisten dengan isu pendaftaran tahun demi tahun.

“Bagaimanapun, apabila pengumuman dibuat ada beberapa pasukan berpura-pura bahawa mereka tidak pernah tahu apa-apa mengenainya dan ia sangat mengecewakan kami.

“Walaupun kebanyakan pasukan terbabit menyatakan pemahaman dan kerjasama, mereka enggan mengaku kesalahan sendiri sebaliknya memilih untuk menyalahkan orang lain,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Selain dikenakan denda berupa pemotongan geran tahunan sebanyak 50%, lima daripada tujuh pasukan yang terlibat juga dikenakan hukuman larangan membeli pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2019.

Lima pasukan yang dimaksudkan ialah Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak. Mereka dikenakan denda sekatan perpindahan kedua yang akan dibuka pada 2 Mei ini kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.