Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mustaza Ahmad mengesahkan badan pentadbir Liga Malaysia itu sedang berusaha untuk melengkapkan proses dokumentasi untuk menerima dana bagi menyelesaikan baki bayaran hak penyiaran kepada pasukan bertanding musim ini.

Jelas Mustaza yang juga Setiausaha UiTM FC, MFL sentiasa komited untuk menunaikan janji kepada semua pemegang taruh sebagaimana mereka telah berjaya membuat pembayaran pertama hak penyiaran kepada rakan kongsi pada 15 Julai lalu.

MFL berjaya menunaikan komitmen itu meskipun berdepan kesukaran selepas Telekom Malaysia (TM) membuat keputusan untuk menarik diri selaku penaja utama Liga Malaysia pada Mac lalu.

Mustaza UiTM FC
Mustaza (tengah) ketika undian Piala Malaysia dan Piala Cabaran 2019

Kata Mustaza: Pertama saya ingin berkatakan kepada semua pemegang taruh Liga Malaysia, MFL sedang berusaha keras untuk melaksanakan hak penyiaran.

“Semua sedia maklum kita sedang dalam proses dokumentasi dengan pihak-pihak tertentu bagi melaksanakan pembayaran kali kedua. Saya berharap semua pasukan harap bersabar dan MFL akan melaksanakan tanggungjawab kita iaitu menjelaskan baki hak penyiaran tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Terengganu FC (TFC), Marzuki Sulong mendedahkan pihaknya sentiasa memberikan ruang dan masa kepada MFL untuk menjelaskan siri kedua pembayaran hak penyiaran kepada pasukan bertanding yang pada awalnya dijadual dibuat pada hari ini.

Marzuki Sulong
Marzuki Sulong
Sumber Gambar: mStar

Jelas Marzuki, TFC memahami situasi dilalui oleh MFL selepas berdepan detik sukar sejurus ketiadaan penaja utama Liga Malaysia. Beliau turut percaya MFL sentiasa kekal komited untuk menunaikan janji mereka dengan menjelaskan berkenaan hak penyiaran sebagaimana mereka telah membayar insentif itu pada 15 Julai lalu.

Marzuki berkata: TFC sentiasa memberikan ruang dan masa kepada MFL untuk menyelesaikan apa saja kekangan. Ini kerana TFC memahami kesulitan ini bukanlah satu perkara disengajakan di mana umum mengetahui ketiadaan penaja utama menyebabkan mengapa berlaku sedikit kelewatan ini.

“MFL telah memberikan penjelasan terperinci berhubung kelewatan pembayaran kali kedua hak penyiaran kepada semua pasukan bertanding dan saya percaya pasukan perlu bersabar serta optimis bahawa MFL dapat melaksanakan janji itu dalam tempoh akan datang,” ujarnya.

Baca Juga: JDT Sah Kelab Pertama Malaysia Tampil Dalam Pro Evolution Soccer