Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi kelulusan kepada pasukan Selangor untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue bagi perlawanan menentang Perak dalam saingan Liga Super 2020 Sabtu ini.

Perkara ini diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan. Namun, pertemuan Selangor menentang Perak akan menjadi aksi terakhir buat liga domestik di mana SNBJ tidak akan lagi dibenarkan menjadi venue buat mana-mana pasukan sebagai usaha MFL untuk menjaga prestij SNBJ sebagai gelanggang nasional buat pasukan kebangsaan.

MFL
Sumber Gambar: Stadium Astro

“Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan FAS untuk menggunakan SNBJ telah diluluskan. Hasil daripada laporan pemeriksaan yang telah dijalankan oleh Komisioner Perlawanan, Tuan Haji Nik Ahmad Yaakub pada jam 6.00 petang, 3 Mac 2020 mengesahkan bahawa SNBJ adalah menepati piawaian yang ditetapkan oleh MFL.

“Selain itu, KBS turut mengesahkan bahawa Program FitMalaysia 2020 edisi Kuala Lumpur telah ditangguhkan ke satu tarikh baharu,” kata Dato’ Ghani.

MFL
FOTO: FA Selangor

Hasrat Selangor menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tidak kesampaian apabila MFL tidak memberi kelulusan ekoran isu keselamatan yang dianggap kurang memuaskan. Bumbung stadium yang mula rosak dan jatuh ke bawah dianggap boleh membahayakan penonton.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani mengingatkan kepada pasukan Liga Malaysia agar lebih bersedia dalam persiapan menyediakan venue utama pasukan tuan rumah pada masa akan datang.

Baca artikel lain mengenai pasukan Selangor di sini:

Harith Haiqal Dan Sharul Nazeem Punya Kualiti Untuk Beraksi Bersama Pasukan Utama

Stadium Nasional Bukit Jalil Jadi Gelanggang Sementara Skuad Gergasi Merah

FAS Dan Pengelola Stadium Shah Alam Giat Berusaha Dapatkan Kelulusan