Perkhabaran gembira menanti buat pasukan amatur yang beraksi di Liga M3 apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah bersetuju untuk melaksanakan proses pembayaran terus kepada pengadil perlawanan tanpa melibatkan lagi campur tangan daripada kelab-kelab amatur bermula Sabtu ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam yang memberitahu, pihaknya bersedia tampil membantu pasukan-pasukan amatur tersebut dalam usaha melancarkan pengurusan kos perlawanan yang membabitkan kelab-kelab dari Liga M3 sahaja.

Kevin Ramalingam

Jelas Kevin, beliau berharap perkhabaran positif itu sekurang-kurangnya dapat memberikan sokongan dan membantu kelab-kelab Liga M3 menjadi lebih fokus dalam menguruskan persiapan pasukan daripada sudut kewangan ke arah lebih positif dimana beliau optimis plafform Liga M3 memiliki potensi untuk menjadikan industri bola sepak tempatan menjadi lebih berdaya saing.

“MFL sentiasa komited untuk membantu pasukan Liga M3 apabila mereka tidak perlu lagi membuat pembayaran terus kepada pengadil perlawanan.

“Ini kerana MFL sendiri akan melakukan pembayaran terus kepada setiap pengadil terlibat selepas kami menerima setiap invois yang dihantar oleh kordinator perlawanan kepada MFL sendiri.

“Proses ini secara tidak langsung akan memudahkan setiap pasukan amatur di mana mereka tidak perlu lagi membayar kos pengadil dianggarkan bernilai RM1,800 bagi setiap perlawanan kerana MFL akan melakukan transaksi pembayaran terus kepada setiap pengadil yang terlibat.

“Justeru, MFL and AFL (Amatur Football League) sentiasa komited untuk membantu kelab-kelab daripada mengeluarkan wang pasukan dahulu untuk membayar pengadil dan dengan proses ini akan memudahkan pengurusan pasukan amatur daripada sudut kewangan bagi menguruskan keperluan lain berdasarkan kesesuaian kelab mereka sendiri,” katanya.

Kevin Ramalingam
Sumber Gambar: Sports247

Sebelum ini, pembayaran elaun pengadil akan dibuat oleh pasukan tuan rumah dan selepas itu pasukan tuan rumah akan membuat tuntutan kepada MFL.

Dalam perkembangan sama, Kevin turut mengumumkan satu lagi perkhabaran gembira buat pasukan-pasukan Liga M3 apabila MFL telah bersedia untuk membayar separuh kos penerbangan kepada mana-mana kelab yang terbang ke Kuching, Sarawak sepanjang musim ini.

“Bukan itu sahaja, MFL turut ingin mengumumkan bahawa pihak MFL bersedia untuk membayar separuh kos penerbangan kepada pasukan Liga M3 yang telah terbang ke Kuching.

“Bagi pasukan yang telah terbang dan bermain di sana, mereka boleh menuntut kos tersebut dengan menyerahkan invois kepada pihak MFL dan saya berharap pendekatan ini dimanfaatkan sepenuhnya kelab amatur negara kita,” ujarnya.

Sementara bagi pasukan Kuching FA yang kerap berkunjung ke Semenanjung untuk mengharungi perlawanan Liga M3, pihak MFL akan mengadakan perbincangan untuk mencari jalan membantu kos perbelanjaan perlawanan pasukan itu.

Liga M3 Table l
Sumber Gambar: AFL

Selepas tujuh perlawanan, Kuching FA kini mendahului dengan 19 mata, satu mata mengatasi DDM FC manakala Kelantan United FC di tangga ketiga dengan 16 mata.