Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mendakwa MFL mempunyai hutang apabila gagal membayar kos tuntutan perjalanan pengadil yang bernaung di bawah FAS dan jumlahnya dianggarkan RM30,000-RM40,000 sejak musim 2018 sehingga kini.

Tambah Posa, bukan sahaja FAS yang terkesan dengan kegagalan MFL membayar kos tuntutan malah pasukan lain turut terkena tempiasnya.

“Kalau lihat jumlah berkenaan memang kecil dan tidaklah banyak sangat. Tapi kalau jumlah sekecil itu pun gagal nak bayar, bagaimana mereka nak bayar geran tahunan yang mencecah jutaan ringgit.

“FAS ada tuntut tapi mereka tak bayar, mungkin mahu menolak daripada geran tahun ini. Namun jika benar, ia sistem kerja yang tidak betul dan tidak profesional.

“Sepatutnya tuntutan tahun lalu perlu menggunakan dana atau duit tahun lalu dan bukannya guna dana musim ini. Macam mana FA negeri nak jadi profesional jika mereka sendiri tak profesional,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Adi Harmizi Ariffin
Sumber Gambar: The Star

Sebelum ini, Posa menggesa Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam untuk meletak jawatan kerana dianggap gagal menjaga kepentingan rakan kongsi dan menguruskan MFL.