Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab Bundesliga, Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 November.

Ia merupakan sebahagian daripada Jelajah Asia Borusia Dortmund yang bermula 24 November. Selain Malaysia, destinasi yang terlibat ialah Singapura dan Vietnam.

Bagaimanapun, penjaga gol kelab itu, Alexander Meyer menyifatkan JDT antara lawan yang paling sukar memiliki pelbagai kejuaraan di peringkat domestik dan pernah menjuarai Piala AFC 2015.

“Ya, ini perlawanan yang sukar. Saya fikir mereka juga tidak sabar menentang kami. Kami tahu BVB adalah kelab yang besar juga di Asia dan ada banyak peminat tetapi ia akan menjadi perlawanan yang sengit. Kami akan bermain bersungguh-sungguh dan menikmati perlawanan,” katanya dalam media antarabangsa.

Penyerang muda Borussia Dortmund, Donyell Malen mendedahkan mereka juga telah membuat kajian mengenai kekuatan pasukan JDT dan bakal menyaksikan perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 untuk melihat gaya permainan Harimau Selatan.

“Sudah tentu, kami ada buat kerja rumah. Setakat yang kami tahu, JDT masih bertanding di peringkat domestik, mereka dijangka akan beraksi dalam perlawanan akhir (Piala Malaysia) beberapa hari sebelum menentang Dortmund.

“Oleh itu, kami tidak akan melepaskan peluang untuk menonton perlawanan itu dan melihat bagaimana boleh berdepan mereka,” katanya.

Dortmund merupakan juara Bundesliga sebanyak 8 kali dan beberapa bintang pasukan itu mungkin tidak ikut serta kerana terlibat dalam Piala Dunia 2022 di Qatar.

Selain aksi persahabatan, mereka juga terlibat dalam aktiviti bertemu peminat setia pasukan itu.

Ini bukan kali pertama JDT bertemu kelab dari Bundesliga itu kerana sebelum ini mereka pernah berentap di Stadium Larkin pada tahun 2015. Ketika itu, JDT yang dibimbing oleh Mario Gomez dibelasah 6-1 dan gol sagu hati Harimau Selatan dijaringkan oleh Garry Steven Robbat.