Penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa menjadi wira pasukan apabila beliau menyelamatkan sepakan penalti Robert Lewandowski pada aksi menentang Poland dalam saingan kumpulan C temasya Piala Dunia 2022.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium 974, kedua-dua pasukan menampilkan permainan yang seimbang dimana masing-masing mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun gagal untuk memanfaatkan peluang yang dimiliki.

Peluang terbaik Mexico untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama hadir menerusi percubaan dari Alexis Vega dan Jesús Gallardo namun percubaan kedua-dua pemain tidak menepati sasaran. Bagi Poland pula, tidak banyak yang dilakukan oleh mereka sekaligus separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 0-0.

Memasuki separuh masa kedua, Poland dihadiahkan sepakan penalti setelah Rober Lewandowski dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh Hector Moreno yang mana pemain pertahanan Mexico itu turut dilayangkan kad kuning.

Namun Guillermo Ochoa tampil dengan cemerlang dimana beliau menyelamatkan sepakan penalti penyerang Barcelona itu sekaligus memastikan pasukannya tidak dibolosi. Poland sekali lagi mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun percubaan Jakub Kiwior berjaya dihalang oleh Jorge Sánchez.

Kedua-dua pasukan terus gagal untuk mencipta jaringan sekaligus perlawanan tamat dengan keputusan 0-0 dan masing-masing pasukan membawa pulang satu mata.

Sebelumnya, dua lagi pasukan dalam kumpulan C iaitu Arab Saudi dan Argentina bertemu dan wakil Asia itu berjaya mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan yang diperkuatkan oleh salah seorang bintang dunia iaitu Lionel Messi.

Messi menyudahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Saud Abdulhamid terhadap pemain tengah, Leandro Paredes. Igauan ngeri Argentina bermula pada minit ke-48 apabila percubaan kaki kiri Saleh Al-Shehri dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Feras Al-Brikan berjaya membolosi gawang Argentina yang dikawal Emiliano Martinez.

Bagaikan mendapat tonik berguna susulan jaringan tersebut, Salem Al-Dawsari meledakkan rembatan padu untuk menewaskan Martinez berselang lima minit kemudian bagi memberikan kelebihan buat wakil Asia itu. Keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekaligus menjadi salah satu kejutan yang dicipta pasukan kerdil ke atas pasukan yang pernah muncul juara dalam temasya edisi kali ini.