Semalam, kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG) telah mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan persahabatan menentang kelab J-League, Kawasaki Frontale. Ini merupakan aksi pramusim pertama mereka di Jepun.

Bintang Argentina, Lionel Messi bersama dua lagi bintang terkemuka dunia seperti Neymar dan Kylian Mbappe turut berada dalam kesebelasan utama dalam tugasan pertama pengurus baru PSG, Christophe Galtier di hadapan 65,000 penyokong di Stadium Nasional Tokyo.

Bagaimanapun, kemenangan PSG tidak hadir dengan begitu mudah kerana mereka dipaksa bekerja keras sebelum Messi membuka akaun jaringan pertama pada minit ke 32.

Messi menjaringkan gol menerusi rembatan dalam kotak penalti pada minit ke-32 sebelum Arnaud Kalimuendo menambah satu gol lagi di separuh masa kedua. Kawasaki yang merupakan juara J-League musim lepas berjaya merapatkan kedudukan apabila memperoleh gol pada minit ke-84 menerusi tandukan Kazuya Yamamura.

Lebih menarik, pemain Thailand, Chanathip Songkrasin yang dikenali sebagai ‘Messi Jay’ akhirnya berpeluang bertemu dengan idolanya, Lionel Messi. Kedua-dua pemain ini sempat berentap di atas padang dan bertemu semula selepas tamat perlawanan.

PSG akan beraksi dalam dua lagi aksi menentang pasukan Liga J dalam siri jelajah di Jepun apabila menentang Urawa Reds di Saitama Sabtu ini dan berdepan Gamba Osaka di Osaka Isnin depan.

Urawa melihat perlawanan ini sebagai persiapan bagi menghadapi pusingan kalah mati AFC Champions League menentang wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 18 Ogos.

Mereka berpeluang menguji pelbagai kombinasi taktikal menentang pasukan eropah tersebut. Ia juga peluang untuk barisan jurulatih JDT menyaksikan perlawanan ini bagi meneliti kekuatan serta kelemahan pasukan Urawa Reds Diamond.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah

Media Korea Selatan Sebut Indonesia Tak Layak Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2023

Supachok Perlukan Masa Untuk Sesuaikan Diri Dengan J. League

Hanya 4 Negara Hantar Permohonan Rasmi Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2023