Perdebatan di antara siapa lebih bagus; Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi terus menjadi bualan.

Setiap orang ada pendapat yang berbeza termasuk pemain profesional. Jika sebelum ini David Beckham memilih Lionel Messi sebagai lagi baik, seorang lagi bekas pemain United, Wayne Rooney bernada serupa.

Rooney menyatakan bahawa Lionel Messi lebih baik daripada pemain luar biasa – Cristiano Ronaldo.

Ini kerana menurut Rooney, bintang Barcelona itu akan ‘menyeksa kamu sebelum membunuh kamu’.

Rooney dan Ronaldo bersama-sama dalam satu pasukan merobek lawan mereka satu ketika dahulu di Man United sebelum pemain kebangsaan Portugal itu menyertai Real Madrid pada 2009.

Rooney dan Ronaldo bermain bersama dalam 5 musim di Old Trafford dan memenangi 3 kejuaraan liga. Malah gandingan mereka pernah membantu Ronaldo memenangi Ballon d’Or yang pertama untuk beliau.

Ronaldo dan Messi telah memenangi 11 Ballon d’Or di antara mereka. Hanya Luka Modric yang berjaya memecahkan duopoli mereka sejak 2007.

Namun Rooney terpaksa meminta maaf kepada Ronaldo kerana terpaksa berterus terang, bahawa Lionel Messi adalah pemain yang lebih baik.

“Ketika kami mulai bermain bersama, Ronaldo tidak begitu fokus dengan perihal menjaringkan gol. Namun selepas itu, kita semua nampak betapa beliau mahu menjadi yang terbaik di dunia.”

“Ronaldo berlatih bersungguh-sungguh dan mulai menghasilkan gol. Cristiano telah menjadi seorang penjaring gol luar biasa.”

“Ronaldo dan Messi mungkin 2 pemain yang terbaik pernah kita saksikan.”

“Di sebalik persahabatan saya dengan Cristiano, saya memilih Messi. Ianya alasan yang sama saya suka melihat Xavi dan Paul Scholes; ada perkara yang berbeza dalam permainan Messi.”

“Saya bercakap tentang ketenangan di hadapan gol, dan saya lupa bila kali terakhir saya melihat Messi merembat deras untuk menjaringkan gol. Beliau hanya menolak bola dan menjadikannya sangat mudah.”

“Ronaldo pemain yang ‘ganas’ di dalam kotak penalti, seorang pembunuh. Namun Messi pula akan menyeksa kamu sebelum membunuh kamu.”

GettyImages-88020496

“Dengan Messi, kamu ada perasan bahawa beliau sedang bersuka ria menyeksa lawannya.”

“Mereka berdua telah mengubah sukan ini dari segi rekod gol. Dan saya tak rasa akan ada yang mampu mengatasi pencapaian mereka.”

Baca juga berita lain dari Eropah:

PSG Sedia Tawar Kontrak Baharu RM181 Juta Setahun

4 Sebab Werner Pemain Paling Berbaloi Dimiliki

Sarri Rindukan EPL: “Penyokong Sentiasa Penuh Dan Tak Rasis”