Ketua jurulatih skuad B-23 tahun negara, Brad Maloney tetap berbangga dengan prestasi yang ditampilkan oleh para pemain meskipun Malaysia tewas kepada Vietnam pada aksi separuh akhir temasya Sukan SEA 2021.

Jaringan tunggal Nguyen Tien Linh pada minit ke-110 sudah cukup untuk membawa Vietnam ke perlawanan akhir sekaligus meneruskan usaha mereka untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada temasya edisi 2019.

Mengenai perlawanan semalam, Brad berpendapat pemainnya sudah memberikan yang terbaik ketika aksi 90 minit dan 30 masa tambahan.

“Saya sangat bangga dengan persembahan yang ditampilkan oleh pemain saya. Mereka telah mencuba yang terbaik ketika aksi 90 minit dan 30 minit masa tambahan. Akan lebih mengagumkan jika kita menang.

“Vietnam mempunyai strategi dan juga fizikal yang baik. Namun kami tetap mengangkat kepala dan tidak menyesal. Jujur saya katakan, Vietnam adalah pasukan terkuat dalam temasya Sukan SEA.

“Mereka berhak untuk menang hari ini (semalam). Suasana di Stadium Viet Tri juga luar biasa. Sokongan dari para peminat membuatkan pemain saya tampil bersemangat.

“Temasya Sukan SEA telah memberi kami banyak peluang untuk berdepan dengan pasukan yang lebih kuat. Ini membantu pemain muda untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman,” kata Brad Maloney.

Ketika permainan memasuki minit ke-110, Tien Linh menceriakan kem Vietnam apabila beliau berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma yang diambil ketua pasukan, Do Hung Dung sekaligus jaringan tersebut membawa mereka ke perlawanan akhir.

Brad Maloney
Nguyen Tien Linh

Di pentas akhir, Vietnam akan menghadapi Thailand yang menewaskan Indonesia di peringkat separuh akhir dengan keputusan sama iaitu 1-0.

Ketika permainan memasuki minit ke-95, Weerathep melakukan ‘turning’ cantik setelah menerima hantaran Benjamin James Davies dalam kawasan penalti sekaligus berjaya memperdayakan pertahanan Indonesia untuk mendapat ruang terbaik untuk melakukan percubaan.

Aksi lewat permainan bagaimanapun dicemari dengan pergaduhan pemain sehingga menyebabkan tiga pemain Indonesia, Firza Andika, Rachmat Irianto, Ricky Kambuaya dan seorang pemain Thailand dilayangkan kad merah.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Sukan SEA 2021 di sini:

Park Hang-seo Anggap Malaysia Miliki Barisan Pemain Yang Baik

Sukan SEA 2021: Gol Masa Tambahan Vietnam Ranapkan Impian Final Skuad Negara

Sukan SEA 2021: Gol Weerathep Pastikan Indonesia Hampa, Bawa Thailand Ke Final