Teki-teki berhubung pemilihan logo Perak FC susulan penganjuran pertandingan reka cipta logo kelab tersebut sudah pun terjawab apabila idea daripada seorang pereka grafik, Muhamad Hafiz Ismail telah diangkat sebagai pemenang.

Keputusan panel pemilihan bebas itu menyaksikan sebahagian besar peminat pasukan Perak menyambut baik penggunaan logo baharu berteraskan kepala seladang dengan penekanan konsep monogram.

Cetusan idea yang boleh dikatakan agak moden dan kelihatan cukup berbeza berbanding sembilan logo lain dalam senarai ’10 terbaik’, dimana para penyokong Perak diberikan peluang untuk membuat undian.

Susulan dengan kejayaan itu, wakil Vocket FC berkesempatan untuk menghubungi anak kelahiran Changkat Melintang yang dibesarkan di Kuala Kangsar, Perak itu bagi berkongsikan serba sedikit pandangan beliau berhubung pemilihan idea dalam penghasilan logo tersebut.

Perak FC
Penerangan logo baharu Perak FC

Mengapa bentuk bulat dan konsep monogram diketengahkan?

Menyiapkan tugasan tersebut bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan kajian menyeluruh dari segenap aspek. Perkara itu diakui sendiri oleh Hafiz yang mengkaji trend penghasilan logo sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sebagai pereka grafik, saya memang sudah biasa membuat kajian menyeluruh terlebih dahulu sebelum mencipta sesuatu logo.”

“Kajian saya adalah berdasarkan trend penghasilan logo kelab-kelab bola sepak antarabangsa sejak lima tahun kebelakangan ini.”

“Saya melihat pasukan-pasukan seperti Brentford FC, Bristol City, Manchester City, Inter Miami CF, Deportivo Alaves dan sebagainya.”

“Hasilnya, saya dapati kebanyakan kelab memilih untuk ‘redesign’ menggunakan logo bulat atas beberapa faktor seperti bentuk bulat kelihatan lebih stabil dalam saiz kecil atau besar.”

“Selain itu, kadar penglihatan [visibility] yang tinggi jika logo bersaiz kecil terutamanya untuk sosial media. Perinciannya tidak akan mudah hilang terutama untuk cetakan diatas jersi dan sebagainya serta mudah untuk ‘invert’ dan ‘outline’.”

“Bagi konsep monogram dengan rekaan seakan-akan kepala seladang pula, kajian yang saya lakukan masih tiada lagi pasukan dalam saingan Liga Malaysia menggunakan konsep monogram sebegini.”

“Oleh itu, Perak FC menjadi yang pertama menggunakan konsep sedemikian dan rata-rata menggunakan simbol atau ikon haiwan,” tambah Hafiz lagi.

Top 10
Logo yang tersenarai dalam ‘Top 10’ untuk undian para penyokong Perak.

Cabaran dalam menyiapkan logo dan bagaimana hadapi reaksi penyokong?

“Cabaran terbesar buat saya adalah berkenaan dengan masa. Hanya tiga hari diperuntukkan untuk menyiapkan logo sebenarnya tidak mencukupi terutamanya dalam membuat kajian yang lebih terperinci serta aspek penyediaan pembentangan logo.”

“Menjadi kebiasaan bagi mana-mana logo sekalipun pasti ada yang suka ada juga tak suka. Saya memahami keadaan itu kerana selera manusia ini berbeza-beza.

“Bagi saya, bukan semua orang adalah pereka grafik dan sebagai pereka grafik, kita perlu untuk mengambil maklum balas daripada orang lain. Komen atau kritikan daripada orang lain amat membantu dalam proses penambaikan kerja atau karya kita di masa akan datang.”

“Saya memang mengharapkan agar logo saya terpilih. Alhamdulillah ianya terpilih juga tetapi sejujurnya memang saya gementar apabila menantikan saat keputusan tersebut diumumkan.”

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Kemampuan Di Atas Padang Jadi Sebab Sabah FC ‘Sambar’ Amri Yahyah

Tan Sri Annuar Musa Dilantik Sebagai Presiden Kuala Lumpur United

Media Brazil Dedahkan Bergson Da Silva Bakal Sertai JDT