Ryan Giggs telah mengesahkan bahawa dia meletak jawatan sebagai pengurus Wales berkuat kuasa serta-merta. Giggs sebelum ini melepaskan jawatan itu sementara waktu pada 2020 kerana kes serangan ke atas bekas teman wanitanya, Kate Greville.

Giggs, yang masih berkeras menafikan kesemua dakwaan terhadapnya, kini telah meletakkan jawatan sepenuhya sambil menunggu hari perbicaraannya di mahkamah.

Dalam satu kenyataan, Giggs berkata: “Selepas banyak pertimbangan, saya berundur daripada jawatan saya sebagai pengurus pasukan kebangsaan lelaki Wales berkuat kuasa serta-merta.”

“Ia adalah satu penghormatan dan keistimewaan untuk menguruskan negara saya, tetapi adalah wajar FA Wales, kakitangan kejurulatihan dan pemain bersedia untuk kejohanan dengan persiapan yang jelas, dan tanpa spekulasi mengenai kedudukan ketua jurulatih mereka.”

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara Giggs dan Persatuan Bola Sepak Wales (FAW), sebaik sahaja kejayaan Wales dalam melayakkan diri ke Piala Dunia 2022 di bawah pengurus sementara Rob Page.

Page, yang telah mengendalikan Wales sejak dua tahun lalu, berjaya membimbing negaranya ke Piala Dunia pertama mereka selepas 64 tahun dengan kemenangan 1-0 ke atas Ukraine pada perlawanan penentuan bulan lalu.

Giggs pada mulanya akan menghadapi perbicaraan pada 17 Januari tetapi kes mahkamah ditangguhkan sehingga 8 Ogos kerana slot yang padat di Mahkamah Crown Manchester.

Dia dituduh menyebabkan kecederaan fizikal Greville di rumahnya di Worsley, Greater Manchester pada November 2020 dan melakukan pemerasan.

Bekas kapten Wales itu juga telah dituduh menyerang kakak bekasn teman wanitanya, Emma.

Giggs Menafikan semua dakwaan itu yang menurutnya tidak berasas.

Menurut Daily Mail, Giggs membuat keputusan untuk berundur sebagai pengurus Wales kerana dia tidak mahu situasinya menjadi gangguan kepada pasukan ketika mereka membuat persiapan untuk Piala Dunia pertama mereka sejak 1958.

Susulan pengumuman Giggs, FAW mengeluarkan kenyataan mereka berbunyi: “FAW merakamkan rasa terima kasih kepada Ryan Giggs atas perkhidmatannya sebagai pengurus pasukan kebangsaan lelaki Cymru dan menghargai keputusan yang telah diambilnya, yang dibuat demi yang terbaik untuk kepentingan bola sepak Wales.”

“Tumpuan penuh FAW dan pasukan kebangsaan lelaki Cymru adalah pada Piala Dunia FIFA di Qatar akhir tahun ini.”

Page, 47, mengesahkan awal bulan ini bahawa kontraknya bersama Wales telah dilanjutkan bagi membolehkannya mengendalikan pasukan Wales di Qatar.

Dia kini boleh dilantik sebagai pengurus tetap Wales selepas prestasi mengagumkan dalam peranannya sebagai pengurus interim.