Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam tindakan bekas pemain Badminton negara, Bong Guang Yik yang mengeluarkan komen berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama Islam baru-baru ini.

Menurut Hannah, beliau tidak setuju dengan kenyataan Bong Guang Yik yang mendakwa kemerosotan prestasi badminton negara berpunca daripada pengurusan yang diuruskan oleh orang melayu.

“Saya sudah semak dengan Majlis Sukan Negara Malaysia dan Badminton Association of Malaysia (BAM), beliau bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 (9 tahun yang lalu) dan kini tidak menetap di Malaysia.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia.

“Saya ulangi pendirian – sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik. Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan rasmi di laman twitter. 

Menerusi kenyataan tersebut yang dimuat naik di laman TikTok, pemain itu menjelaskan isu layanan tidak adil daripada BAM kepada para pemain, terlalu memberi fokus kepada Dato’ Lee Chong Wei dan meletakkan semua sumber kepada pemain nombor 1 negara serta tidak menumpukan pembanggunan pemain muda adalah antara sebab mengapa pemain negara kini kurang menonjol dari segi prestasi dan kurang berkemampuan untuk bersaing dengan pemain dari negara lain.

Namun komen yang menjadi perhatian pengguna maya adalah bila mana beliau menyentuh soal agama, di mana beliau berkata bahawa pengurusan BAM yang dipegang oleh orang Melayu yang solat 5 waktu menjadi punca kepada segala permasalahan ini.

“Bagi orang Melayu jadi management. Eh mereka sembahyang dah 5 kali sehari, mana ada niat nak uruskan BAM. Lemah pengurusan ini. Sistem yang lemah menyebabkan pemain Malaysia semua merosot.”

“Jangan bagi orang Melayu, jadi tukarlah kepada orang Cina. Cuba tengok, ada kemajuan. Sebab orang Melayu bagi saya, semua malas dan tahu makan je. Sebab satu hari sembahyang 5 kali. Dia mana ada niat nak uruskan BAM dengan baik”, ujar beliau.

Komen berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh beliau ini telah tular di laman Twitter apabila seorang individu dengan nama Ah Boy telah bertindak memuat naik video tersebut dan mengecam tindakan beliau yang menyalahkan kaum yang menjadi punca mengapa prestasi pemain negara merudum.

Selain itu, kebanyakan netizen yang menonton video tersebut turut mengecam tindakan Bong kerana telah memainkan isu perkauman.