Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican semalam sempat berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim untuk menyaksikan perlawanan Liga Super diantara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United.

JDT merupakan pasukan pertama merasmikan kemasukan penyokong ke Stadium setelah hampir setahun peminat tidak dibenarkan menghadiri perlawanan susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Kehadiran Reezal di Stadium Sultan Ibrahim juga bertujuan untuk memantau operasi pengurusan JDT untuk kemasukan penyokong mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau juga berpuas hati dengan pelaksanaan protokol pengurusan penonton JDT dan sempat bertegur sapa dengan para penyokong.

“Tahniah kepada MFL dan tuan rumah JDT yang telah mempamerkan satu standard protokol pengurusan penonton yang cukup baik dan sistematik.

“Saya tabik pengurusan JDT yang mengambil extra miles dengan menambah kawalan marshal perlawanan selain penglibatan KBS Sports Bubble Volunteers.

“Paling menyentuh hati saya apabila dapat bersua dengan sebahagian penonton terutamanya Boys of Straits. Betul-betul terubat rindu apabila dapat mendengar sorakan dan chant mereka untuk pasukan kesayangan, JDT,” katanya.

166488034_3725449210857758_7404847562523441421_n
FOTO: Reezal Merican

Memandangkan Johor masih dalam kawasan PKPB, hanya 10% atau 2000 penyokong JDT sahaja dibenarkan masuk dan kebanyakan mereka merupakan pemegang Pas Bermusim Platinum.

“Terima kasih para pemain ke-12! Anda telah dapat mempamerkan semangat penonton norma baharu yang baik. Saya yakin, kaedah pengurusan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pemain ke-12 ini boleh menjadi tanda aras dan template untuk pasukan dan penonton pasukan lain.

“Saya dan pasukan KBS juga ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor atas kerjasama pengurusan JDT yang telah meletakkan satu tanda aras yang cukup tinggi dalam penganjuran perlawanan dengan penonton ini,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perlawanan Liga Super semalam.

Sri Pahang Longlai Dilanyak Kedah Darul Aman

JDT Kembali Nikmati Kemenangan, Jadikan Melaka United ‘Mangsa’