Skuad Garuda Muda menjangkakan perlawanan separuh akhir kejohanan AFF Bawah 18 tahun (B-18) menentang Malaysia pada hari esok akan berlangsung dengan sengit sehingga diheretkan ke masa tambahan.

Justeru itu, sesi latihan mereka semalam lebih tertumpu kepada sepakan penalti untuk memastikan mereka lebih bersedia berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada perlawanan tersebut.

“Ini penting kerana kami jangka perlawanan separuh akhir akan ditentukan kemenangan melalui sepakan penalti,” kata pengendali skuad itu, Fakhri Husaini seperti dipetik dalam Kompas.

14646-fakhri-husaini
ANTARA FOTO/Yusran Uccang/ama

Setakat ini skuad Indonesia B-18 masih mengekalkan rekod tanpa kalah setelah muncul sebagai juara kumpulan A. Mereka tekad menewaskan Malaysia esok sekaligus menempah tiket ke perlawanan akhir sebagai hadiah hari kemerdekaan negara tersebut yang ke 74.

“Ini tentu menarik, ibarat ‘derby melayu’, kerana setiap kali Malaysia dan Indonesia bertemu dalam mana-mana pertandingan sukan, selalunya akan menjadi tumpuan rakyat dua negara ini.

“Untuk memastikan pemain saya lebih bersedia dari segi mental dan fizikal, kami telah membuat persiapan lebih awal,” tambah Fakhri.

30686-fakhri-husaini
ANTARA FOTO/Yusran Uccang

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak memandang mudah kepada Malaysia selepas skuad kendalian Brad Maloney melakukan kejutan dengan menewaskan Australia beberapa hari lepas.

“Kami sudah lihat perlawanan mereka menentang Australia kelmarin, kemudian menilaikan corak permainan mereka melalui rakaman video. Beberapa kelemahan dan kelebihan pasukan Malaysia sudah dikenalpasti,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Malaysia B-18, Brad Maloney mengakui anak buahnya kepenatan dan tidak bermain seperti biasa setelah tewas kepada 0-1 Thailand semalam.

“Ia bukan persembahan terbaik semalam tetapi inilah kesukaran yang kami tempuhi apabila beraksi dalam lima perlawanan bagi tempoh sembilan hari. Tidak mudah buat pemain untuk proses pemulihan setiap dua hari tetapi mereka telah lakukan yang terbaik,” katanya.

Hanya prestasi cemerlang dalam saingan seterusnya mampu mengubah persepsi netizen terhadap skuad negara yang tercalar maruahnya ketika ini.

Sumber