Bekas pemain tengah Manchester United, Park Ji-sung cukup sinonim dengan kerja kerasnya ditampilkannya setiap kali beraksi dan tahap kecergasan luar biasanya sentiasa menjadi buah mulut para peminat bola sepak.

Dengan kualiti tersebut, tidak hairanlah mengapa para penyokong dan media bola sepak seluruh dunia menggelarkannya dengan panggilan ‘Three Lung’ Park.

Tujuh musim beraksi bersama The Red Devils, banyak kejayaan manis dilakar anak kelahiran Seoul, Korea Selatan itu seperti menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2007/08 dan empat kali menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemampuan hebatnya dalam merantai pergerakan perancang kreatif AC Milan, Andrea Pirlo pada perlawanan peringkat 16 UCL 2009/10 menjadi antara kisah menarik untuk memperkatakan tentang kehebatan Ji-sung.

United mara dengan penuh bergaya ke suku akhir selepas menundukkan skuad yang ketika itu dibimbing Leonardo dengan agregit 7-2 hasil kemenangan 3-2 ketika berkunjung ke San Siro dan 4-0 di laman sendiri.

Di samping keupayaan barisan pemain Manchester United terutamanya Wayne Rooney yang mempamerkan sentuhan berbisa menyumbangkan empat gol [dua gol di setiap pusingan], sumbangan besar Park Ji-sung tidak boleh dipandang enteng.

Hal ini kerana, Sir Alex Ferguson telah memberikan peranan khas buat beliau untuk hanya merantai pergerakan Pirlo dan ternyata Ji-sung berjaya menjalankan tugasannya dengan cukup cemerlang.

“Tugasan kamu pada hari ini bukan mengenai menyentuh bola, bukan juga untuk melakukan hantaran. Kerja kamu ialah [merantai pergerakan] Pirlo. Itu sahaja: Pirlo,” ujar Ferguson kepada Ji-sung seperti yang didedahkan oleh Wayne Rooney.

Menurut statistik dikeluarkan Sport Bible, susulan daripada kawalan ketat diberikan Ji-sung, Pirlo yang cukup terkenal sebagai ‘game changer’ hanya mampu melakukan 21 hantaran pada perlawanan kedua di Old Trafford.

Ia sudah jelas untuk menunjukkan betapa Ji-sung telah memainkan peranan yang dikehendaki oleh pengurusnya pada perlawanan tersebut dengan sangat baik. Ayat paling popular pada ketika ini, Pirlo berada di dalam poket Ji-sung.

Pirlo turut mendedahkan kesukaran dihadapi ketika menerima tentangan serta kawalan ketat diberikan oleh Ji-sung terhadapnya dalam autobiografi yang bertajuk ‘ I Think Therefore I Play’.

”[Perlawanan] di Milan, dia [Sir Alex Ferguson] memberikan peranan buat Park Ji-sung untuk membayangi saya. Dia berlari dengan cukup pantas. Dia membiarkan badannya ke arah saya, tangannya sentiasa di belakang saya, juga cuba untuk menakut-nakutkan saya.”

“Dia melihat ke arah bola dan tidak tahu untuk apa melakukan perkara sedemikian. Mereka hanya memprogramkan dia supaya menghentikan saya. Kesetiaannya dalam melakukan tugasan itu membuatkan saya tersentuh.”

“Walaupun dia merupakan seorang pemain yang terkenal, dia bersetuju untuk menjalankan tugasan tersebut menjadi sebagai ‘anjing penjaga’ [merantai setiap pergerakan Pirlo].”

Selain Pirlo, bekas rakan sepasukannya, Rio Ferdinand turut mengakui perkara tersebut dan memuji peranan dimainkan oleh Park Ji-sung itu.

“Saya mengingati apabila kami beraksi menentang Milan di sana dan Pirlo berada di tengah untuk menjadi nadi kepad segala yang dilakukan oleh mereka.”

“Pengurus menyuruhnya untuk berada di samping Pirlo, iaitu tugasan untuk mengawalnya ‘man to man marking’ dan saya yakin pada ketika itu, Pirlo bangun tidur keesokan hari, melihat di hujung katil dan berharap dapat melihat Ji-sung ada di sana.”

“Dia menjalankan tugasannya dengan sangat bagus. Apa sahaja yang ditetapkan oleh pengurus kepadanya untuk dilakukan, sama ada bertahan bagi mengawal seorang pemain, menghentikan pergerakan seseorang pemain atau pergi ke mana sahaja untuk melakukan sesuatu perbezaan di kawasan pasukan lawan, dia pasti akan melakukannya,” ujar Ferdinand lagi.

Kemaraan United dalam kempen UCL pada musim tersebut bagaimanapun terhenti di suku akhir apabila Bayern Munich memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan setelah kedua-dua pasukan terikat 4-4 secara agregit.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Mohd Jaya Kassim: Karier Singkat Yang Dirindui Penyokong Sabah

Liridon Krasniqi Tidak Sabar Untuk Sertai Sesi Latihan Newcastle Jets

Penyokong ‘The Red Warriors’ Teruja Dengan Jersi Musim 2021 Sehingga Mahu Jadikan Sebagai Baju Raya