Kemelut tunggakan gaji dihadapi Perak pada ketika ini nyata mengingatkan kita kepada skuad Yob ketika dibimbing pengendali dari Liverpool, Steve Darby pada musim 2008 apabila mereka turut menerima nasib yang sama.

Perak yang ketika itu turut membawa nama negara dalam kempen Piala AFC dihimpit masalah tunggakan gaji ekoran pertukaran kerajaan negeri susulan Pilihan Raya Umum ke-12.

Berikutan masalah tersebut, hampir kesemua pemain termasuklah nama-nama besar meninggalkan pasukan sehingga menyebabkan Perak terpaksa menghadapi saingan Liga Malaysia 2009 dengan skuad berwajah baharu.

Namun, terdapat perkara menarik yang disaksikan ketika para pemain terseksa dengan masalah tunggakan gaji selama kira-kira empat bulan.

Hal ini kerana Steve Darby telah melakukan segala termampu bagi memastikan anak buahnya masih mempunyai ‘jiwa’ untuk terus mengerah kudrat buat pasukan dalam menghadapi misi penting pada musim tersebut.

Darby pernah mendedahkan kepada penulis kira-kira dua tahun lalu bahawa beliau terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk mendapatkan tiket penerbangan ke Lebanon bagi perlawanan suku akhir kedua bertemu Al-Safa.

Sudahlah anak buahnya tunduk 0-2 di laman sendiri, kemudiannya beliau mendapat pengkhabaran pihak persatuan tidak mempunyai wang untuk membiayai segala kos ke negara Timur Tengah itu.

Steve Darby
Steve Darby bersama pengurus pasukan, Dato Jamal Nasir Rasdi. Kredit foto: yob4ever.com

Segalanya tampak begitu sulit buat Darby tetapi beliau mengambil keputusan untuk memilih tiket penerbangan paling murah yang bermakna skuad Perak perlu mengharungi satu tempoh penerbangan cukup panjang.

Sebagai langkah penjimatan di mana beliau terpaksa menggunakan wang sendiri, Darby turut hanya membawa 14 orang pemain [11 pemain simpanan, tiga pemain simpanan dengan seorang penjaga gol simpanan] serta tiga orang kakitangan pasukan.

Bagaimanapun pada perlawanan tersebut, Perak tewas 0-5 dan akhirnya kelab berpangkalan di Beirut itu muncul naib juara selepas kecundang pada perlawanan akhir di tangan Al-Muharraq [Bahrain].

Selain itu, Khalid Jamlus dalam sesi perkongsian di laman Facebook peribadinya pada April tahun lalu juga turut mendedahkan perkara sama mengenai bekas jurulatihnya itu.

Beliau menganggap Steve Darby sebagai seorang bapa buatnya ketika di dalam padang dan beliau sanggup mengeluarkan wangnya sendiri untuk membantu para pemain.

“Dia cuba usahakan mana yang termampu. Kalau anda semua ingin tahu, dia telah keluarkan duit sendiri sebab ketika itu Perak tak bayar gaji kami untuk beberapa bulan.”

“Dia mengambil inisiatif sendiri untuk mengeluarkan wang sendiri dan bayar gaji kami. Bukan bayar penuh pun, bayar sebahagian sahaja tetapi itu adalah duit untuk budak-budak [para pemain] bertahan.”

”Bagi saya, dia merupakan bapa saya ketika di dalam padang, kerana itulah kami boleh bermain dengan satu hati dan bersungguh-sungguh walaupun tidak dibayar dalam tiga ke empat bulan gaji,” ujar Khalid Jamlus.

Mungkin ramai penyokong tidak gemarkan taktikal 3-5-2 yang dimainkan Steve Darby sewaktu membimbing Perak tetapi di sisi lain beliau merupakan wira buat para pemain kerana meletakkan pasukan lebih daripada segalanya sehingga menolak ke tepi soal kepentingan peribadinya.

Para pemain pada ketika itu yang diketuai legenda, Ahmad Shahrul Azhar Sofian juga tetap bermain sehingga tamat kontrak. Mereka tidak lari separuh jalan dan berjaya menamatkan saingan Liga Super musim tersebut di kedudukan kelima selain layak ke suku akhir Piala AFC.

Pengorbanan yang cukup besar dicurahkan oleh insan yang bernama Steve Darby dan disokong oleh anak-anak buahnya.

Baca artikel lain dari kami mengenai perkembangan kemelut yang melanda Perak:

TERKINI: Rizal Ali Umum Peletakan Jawatan Sebagai CEO Perak FC

TERKINI: Kecewa Tak Dapat Gaji, Pemain Perak Boikot Sesi Latihan

Import Baharu Sri Pahang Buat Perak Terus ‘Derita’