Skuad Thailand dan Vietnam baharu sahaja mengesahkan kemaraan ke saingan Piala Dunia Futsal 2021 selepas berjaya menundukkan lawan masing-masing pada peringkat kelayakan yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin.

Perkembangan terbaharu itu terus sahaja memberikan persoalan para peminat di Malaysia bilakah skuad futsal kebangsaan akan merasai nikmat yang sama seperti dua jiran tetangga tersebut.

Namun, mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa pasukan futsal negara pernah beraksi di pentas Piala Dunia Futsal 1996, Sepanyol dan lebih menarik lagi, skuad negara pada ketika itu dibarisi pemain bola sepak.

Futsal

Tiada asas dalam sukan lima sebelah tersebut, barisan pemain negara diketuai Zainal Abidin Hassan terpaksa berhadapan dengan pemain-pemain yang merupakan pemain futsal profesional.

Selain Zainal, 11 pemain lain yang menggalas tanggungjawab negara ialah Khairul Azman Mohamed dan Mudzar Mohamed selaku penjaga gol bersama-sama Md Raizuwah Idris, Anuar Jusoh, Lim Seng Kong, Rosdee Sulong, Nazri Yunos, Zami Mohd Noor, Dollah Salleh, Azman Adnan dan Azrul Amri Burhan.

Futsal
Keratan akhbar bersempena cabaran Malaysia di Piala Dunia Futsal 1996. Kredit foto: Simpanan peribadi Khairul Azman Mohamed

Segalanya bermula apabila Malaysia berjaya melepasi pusingan kelayakan Piala Dunia 1996 zon Asia Tenggara di mana skuad negara berjaya menewaskan Filipina dengan keputusan 13-3 dan terikat 3-3 bertemu Brunei.

Keputusan tersebut sudah cukup untuk membawa Malaysia layak beraksi di Segovia, Sepanyol bagi mengiringi dua lagi wakil Asia, Iran dan China.

Hanya sebulan persiapan dan diundi pula bersama-sama naib juara edisi 1992, Amerika Syarikat serta pasukan handalan, Itali dan Uruguay, sudah pasti semua dapat menjangkakan apa keputusan yang diterima.

Malaysia yang ketika itu dibimbing jurulatih legenda dari Belanda, Vic Hermans sambil dibantu Irfan Bakti Abu Salim tewas ketiga-tiga perlawanan setelah tunduk 1-10 di tangan Itali, 1-4 ketika bertemu Uruguay dan tumbang 2-10 pada perlawanan terakhir menentang Amerika Syarikat.

Empat jaringan yang dihasilkan pemain negara menjelma menerusi dua gol daripada Azman Adnan manakala Lim Seng Kong dan Rosdee Sulong masing-masing dengan satu gol.

Menurut perkongsian Khairul Azman kepada wakil Vocket FC pada tahun lalu, pengalaman dirasai oleh beliau dan rakan sepasukannya itu adalah sesuatu yang cukup luar biasa.

Futsal

“Memang sesuatu yang cukup janggal dirasai kerana dah berbelas tahun kami main bola sepak, tiba-tiba kerana bermain futsal yang memang agak asing buat kami.”

“Sejujurnya kami hanya membawa dan bersandarkan pengalaman sebagai pemain bola sepak untuk beraksi di Sepanyol. Kami hanya menjalani latihan pusat selama sebulan sahaja,” ujar Khairul Azman berkongsikan pengalamannya.

Difahamkan, sebaik sahaja pulang dari Segovia, Sepanyol, pemain mengambil masa seminggu untuk mengubah kembali rentak permainan kepada bola sepak kerana perlu menghadapi saingan suku akhir Piala Malaysia 1996.

Itulah pengalaman cukup luar biasa dan unik buat para pemain bola sepak pada ketika itu yang mana mereka terpaksa beraksi futsal di peringkat paling tinggi. Ia juga merupakan kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia Futsal.