Mengimbau kembali pada 1 September 1996, telah berlangsung buat julung kalinya satu pertandingan bola sepak melibatkan negara-negara di benua Asia Tenggara (ASEAN) bagi merebut mahkota Kejohanan Piala AFF di Singapura.

Kejohanan sulung yang pada ketika itu lebih dikenali sebagai ‘Piala Tiger’ berikutan hak penajaan dimiliki syarikat pengeluar minuman keras tersebut menyaksikan 10 negara telah mengambil bahagian.

Kini, selepas 25 tahun berlalunya penganjuran tersebut, Singapura sekali lagi dipilih untuk menjadi tuan rumah Piala AFF yang akan memulakan saingannya pada 5 Disember nanti.

Lebih menarik untuk diperkatakan tentang penganjuran kali ini, Singapura akan menjadi tuan rumah bagi kesemua perlawanan seperti tahun 1996 selepas format pertandingan terpaksa diubah mengikut keperluan berikutan wabak yang masih melanda.

Bagi para penyokong bola sepak tanah air, ia juga secara tidak langsung telah mengembalikan nostalgia perjalanan pasukan negara yang pada ketika itu menduduki tangga kedua selepas tunduk di tangan Thailand pada perlawanan akhir.

Tanpa kalah di peringkat kumpulan

Skuad negara pada tahun 1996 telah dibimbing oleh pengendali tempatan, Wan Jamak Wan Hassan dimana Zainal Abidin Hassan memimpin cabaran negara yang berada dalam kumpulan B bersama-sama tuan rumah, Singapura, Thailand, Brunei dan Filipina.

Selain Zainal Abidin, antara pemain yang menjadi sandaran Wan Jamak ialah Khairul Azman Mohamed, B. Rajnikand [Muhammad Rajanikadhn Batumalai], Azmil Azali, Dollah Salleh, Zami Md Noor, K. Sanbagamaran dan Azman Adnan.

Cabaran pertama dilalui dengan cukup getir oleh pemain negara apabila menentang Singapura yang menyaksikan puluhan ribu penyokong tuan rumah memberikan sorakan buat para pemain mereka.

Sanbagamaran memecah kebuntuan pada minit ke-76 menerusi gerakan solo ke dalam kawasan penalti yang kemudiannya disudahkan dengan baik bagi meletakkan di hadapan. Ketika skuad negara sudah bersiap sedia untuk meraikan kemenangan, Fandi Ahmad membuatkan Stadium Nasional, Kallang bergegak-gempita apabila beliau menanduk masuk bola hasil hantaran lintang cantik daripada Hasnim Haron untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Perlawanan kedua menyaksikan skuad negara tidak berdepan masalah apabila berkenduri jaringan hasil kemenangan 7-0 bertemu Filipina. Sanbagamaran meneruskan kecemerlangan dengan jaringan hatrik dan Shamsurin Abdul Rahman mencipta dua gol manakala Azman Adnan serta M. Chandran masing-masing dengan satu gol.

Malaysia kembali meraih keputusan seri pada aksi berikutnya setelah mengikat Thailand 1-1. Thailand berada di hadapan pada minit ke-28 menerusi jaringan daripada jarak jauh oleh Kiatisuk Senamuang yang membuatkan penjaga gol, Khairul Azman terpaku. Kem negara melonjak kegembiraan ketika permainan memasuki minit ke-59 apabila Zainal Abidin menyudahkan sepakan percuma cantik untuk memadam kelebihan dimiliki Thailand.

Sebelum perlawanan terakhir berlangsung, skuad negara berada di kedudukan ketiga dengan lima mata manakala Thailand dan Singapura terikat tujuh mata. Namun, pertembungan dua pasukan teratas itu yang memihak Thailand 1-0  dan kemudiannya Malaysia berjaya membelasah Brunei memastikan anak buah Wan Jamak melangkah ke separuh akhir sebagai pasukan di tempat kedua.

K. Sanbagamaran dan Shamsurin Abdul Rahman menjadikan kedudukan 2-0 pada babak pertama dan kemudiannya Allahyarham Anuar Abu Bakar dan M. Chandran masing-masing menambah dua gol untuk menang 6-0 ke atas Brunei.

Tundukkan musuh tradisi untuk ke final Piala AFF

Menanti Malaysia di separuh akhir ialah Indonesia yang mengungguli kumpulan A dengan tiga kemenangan dan satu keputusan seri. Peri Sandria dan Kurniawan Dwi Yulianto merupakan tunjang utama jentera serangan mereka pada ketika itu.

Bagaimanapun, barisan pemain negara jelas lebih ampuh dengan dua jaringan awal berjaya dihasilkan dalam tempoh kurang 20 minit menerusi Sanbagamaran dan Rusdee Sulong. Malaysia bagaimanapun sedikit tersentak pada lewat aksi babak pertama susulan jaringan sendiri Azmil Azali.

Shamsurin mematikan api perjuangan Indonesia yang dibimbing mendiang Henk Wullems dari Belanda itu pada minit ke-76 untuk menempah pertembungan akhir menentang Thailand.

Kiatisuk Senamuang terus jadi masalah buat Khairul Azman

Ledakan daripada luar kawasan penalti oleh Kiatisuk Senamuang seawal minit kesembilan menjadi pemisah kepada impian skuad negara untuk melakar sejarah muncul juara edisi sulung tersebut.

Thailand nyata lebih banyak melancarkan serangan ke kubu skuad negara dengan percubaan menarik Apichad Thaveechalermdit dari jarak jauh hanya singgah di tiang gol.

Peluang keemasan skuad negara untuk mengikat kedudukan dimiliki pada lewat permainan apabila mereka mendapat sepakan percuma di dalam kawasan penalti selepas penjaga gol, mendiang Wacharapong Somcit menangkap bola hantaran rakan sepasukannya.

Wacharapong bagaimanapun bertindak cemerlang dalam menafikan rembatan padu Sanbagamaran manakala percubaan susulan Yap Wai Loon pula membias terkena pertahanan untuk kelebihan jaringan awal Thailand itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan.

Meskipun Malaysia tidak berjaya menjulang trofi tersebut, Zainal Abidin Hassan telah dipilih sebagai ‘Pemain Paling Bernilai’ dan ia menjadi antara kempen menarik buat skuad negara yang pada ketika itu bangkit daripada episod hitam skandal mengatur perlawanan pada 1994.