Kemampuan dalam mengemudi jentera tengah berbekalkan kreativiti dan visi di tahap tertinggi menjadi perkara ringkas untuk mengulas mengenai pemain tengah kelahiran Jerman, Toni Kroos.

Hakikat tersebut menjadikannya sebagai antara pemain tengah terbaik dunia di era moden ini tambahan pula dengan pelbagai koleksi kejuaraan pernah dimenangi sejak berkecimpung dalam kancah bola sepak profesional.

Namun, sudah pasti terdapat perkara lain yang membuatkan dirinya lebih dekat di minda para penyokong bola sepak seluruh dunia iaitu kesetiaan Kroos terhadap kasut bola Adipure 11pro keluaran jenama terkenal, adidas ketika beraksi.

Tidak seperti pemain bola sepak lain yang akan mengubah cita rasa sekiranya terdapat model keluaran terkini, Kroos tetap setia dengan kasut bola kombinasi warna putih, hitam dan ‘sky blue’ tersebut sejak dari 2013.

Keadaan kasut Kroos selepas aksi final UCL bertemu Liverpool pada Mei lalu. Kredit Foto: Understuds

Toni Kroos nyata mempunyai alasan beliau yang tersendiri untuk terus menggunakan kasut tersebut walaupun seperti diketahui adidas sudah mengeluarkan begitu banyak model baharu.

“Saya tahu orang mengatakan saya seorang yang gila tetapi jelas buat saya, amat penting untuk melihat kasut berwarna putih apabila saya memandang ke bawah.”

“Saya tidak tahu sama ada itu merupakan salah satu masalah dari segi psikologi yang saya alami tetapi kasut saya perlu berwarna putih apabila saya beraksi.”

“Jika sebaliknya, saya akan berasa tidak selesa,” ujar Kroos bercakap dalam dokumentari khas mengenai dirinya.

Bekas rakan sepasukannya ketika di Real Madrid, Gareth Bale turut mendedahkan bahawa Kroos memiliki tiga hingga empat kasut berwarna putih dan beliau sendiri yang membersihkan kasutnya tanpa mengharapkan kepada kitman.

“Kami merasakan dia tidak mempercayai kitman kami untuk membersihkan kasutnya. Jadi, dia akan sentiasa membersihkan kasutnya sendiri bagi memastikan kasut-kasut tersebut kelihatan bersih dan sempurna.”

Dalam pada itu, turut tular pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2021/22 bertemu Liverpool pada Mei lalu apabila kasut Adipure 11pro yang digunakan oleh Kroos sudah berada dalam keadaan sangat teruk.

Menurut sumber laman Facebook dari Thailand, Understuds yang memfokuskan kepada pemilihan kasut bola dalam kalangan pemain bola sepak dunia, Kroos sebenarnya mendapat kasut baharu daripada pihak adidas dengan ‘match details’ perlawanan akhir yang tertera pada kasut tersebut.

Bagaimanapun mungkin atas faktor keselesaan, pemain berusia 32 tahun tersebut tetap memilih untuk memakai ‘senjata’ lamanya ketika aksi di Stade De France, Paris itu.

Lebih manis pada malam tersebut, ia merupakan kejuaraan UCL keempat dimenangi olehnya bersama Real Madrid dengan menggunakan kasut bola yang sama.

Kasut baharu dengan model yang sama. Kredit Foto: Real Madrid

Kasut yang cukup bermakna itu sudah tidak digunakannya apabila Kroos pada ketika ini  selepas beliau kelihatan sudah menggunakan kasut baharu tetapi masih lagi dengan model sama ketika aksi Piala Super bertemu Eintracht Frakfurt dan perlawanan sulung La Liga menentang Almeria, awal pagi tadi.

Walaupun sekadar pemilihan sepasang kasut bola tetapi ia sudah cukup jelas untuk menceritakan tentang uniknya ‘kisah cinta’ Toni Kroos terhadap kasut bola kesayangannya itu.

 

 

 

Sumber