Pasukan Melaka United semakin rancak dalam usaha mereka memperkuatkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan apabila Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) sah menandatangani empat lagi pemain.

Sebelum ini, MUSA menandatangani beberapa pemain yang beraksi dalam saingan Liga Super, Liga Perdana serta Liga M3 bagi mengukuhkan semua posisi. Di posisi penjaga gawang, Melaka menandatangani bekas pemenang Piala Malaysia 2015, Norazlan Razali dan Solehin Mamat bagi bersaing dengan penjaga gol sedia ada, Khairul Fahmi Che Mat.

Bagi mengukuhkan benteng pertahanan, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan ini membawa masuk Anas Rahmat dan bekas pemain yang pernah beraksi bersama pasukan itu musim lalu, Khair Jefri Jones. Selain itu, MUSA turut mengekalkan khidmat Razman Roslan serta pemain import dari Korea Selatan, Jang Suk-Won.

Di bahagian tengah pula, juara Liga Perdana 2016 itu menandatangani Romel Morales, Curran Ferns, Nurridzuan Abu Hassan, Feris Danial Mat Nasir serta Khairul Anwar Shahrudin bagi membantu pemain yang bakal diangkat sebagai ketua pasukan musim hadapan, Safiq Rahim.

Bahagian serangan juga tidak ketinggalan untuk diberikan nafas baharu apabila pengurusan pasukan Melaka United membawa masuk dua pemain import iaitu Uche Agba yang musim ini beraksi bersama PDRM FA serta Deshorn Brown bagi mengemudi jentera serangan pasukan. MUSA tidak mengambil khidmat pemain import dari Asean bagi menjmatkan perbelanjaan persatuan itu.

Baca artikel lain mengenai pasukan Melaka United di sini:

Melaka United Sambar Khidmat Penyerang Skuad Kebangsaan Jamaica

Romel Morales Sah Beraksi Bersama Melaka United Musim Hadapan

Jang Suk-won Kekal Bersama Melaka United Musim Hadapan