Melaka United bukan sahaja terpaksa menelan kepahitan mengalami kekalahan ke-10 dalam saingan Liga Super 2022, malah terdapat segelintir penyokong mereka yang terpalit dengan serangan provokasi perkauman terhadap Pape Abdoulaye Diakite.

Hal ini kerana perlawanan ke-20 liga di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput itu telah dicemari ekoran sikap tidak bertanggungjawab beberapa penyokong tuan rumah yang menjadikan pemain pertahanan Terengganu FC kelahiran Senegal itu sebagai sasaran.

Mungkin kecewa dengan kekalahan berterusan pasukan kesayangan mereka, penyokong tersebut telah mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap Diakite seperti yang didedahkan pemain kelahiran Senegal itu di laman Twitter miliknya.

Sehubungan dengan itu atas rasa tanggungjawab dan semangat kesukanan tinggi, Melaka United tampil untuk membuat permohonan maaf kepada Diakite diatas sikap kurang bijak yang ditunjukkan oleh penyokong mereka.

Selain itu badan penganjur liga bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) turut menegaskan bahawa isu serangan perkauman seperti yang terjadi kepada Diakite perlu dijauhkan oleh semua pihak.

“MFL ingin mengulangi dan menegaskan bahawa tiada tempat untuk perkauman di dalam bola sepak.”

“Bola sepak sentiasa menjadi medium untuk menyatukan masyarakat dan bukannya platform untuk menyebarkan kebencian dan diskriminasi.”

”MFL serta semua Kelab Liga Malaysia bersama-sama meneruskan perjuangan untuk menendang perkauman daripada bola sepak Malaysia dan kami ingin menggesa semua peminat turut bermain peranan dengan menolak serta tidak menerima perangai sebegitu dengan laporkan tingkah laku diskriminasi kepada Kelab anda jika dilihat. Kami bersatu menentang Perkauman.”