Setelah bermula cemerlang pada saingan TM Piala Malaysia 2021, Melaka United tidak rela rekod itu terencat dalam usaha merintis laluan lebih awal ke peringkat suku akhir.

Pemain sayap kanan, S. Kumaahran, berharap melalui sokongan padu yang bakal diterima dari penyokong Melaka United, mereka mampu meraih tiga mata yang penting apabila melayani kunjungan Kelantan United FC di Stadium Hang Jebat, pada Jumaat.

“Di Piala Malaysia, corak permainan kita nyata berbeza berbanding aksi liga kerana kita membuat persiapan yang lebih baik terutama dalam aspek disiplin semasa perlawanan.

Melaka United
Sumber Gambar: Melaka United

“Barisan pemain import yang baharu (Adriano dan Giovane Gomes) memberikan sumbangan yang cukup besar dalam aspek mencipta serangan selain hantaran-hantaran berkualiti kepada rakan sepasukan.

“Malah tahap persefahaman sesama pemain begitu baik dalam dua perlawanan lalu dan saya harap kami mampu meneruskan momentum kemenangan bagi perlawanan dengan Kelantan United bagi kukuhkan peluang ke suku akhir.

“Ditambah bermain di laman sendiri dan penyokong-penyokong akan datang buat pertama kali, saya harap situasi itu akan berikan motivasi kepada semua pemain untuk peraga aksi lebih baik, ” katanya.

Melaka United sebelum ini berjaya menjinakkan Negeri Sembilan 2-0 dan mengejutkan Kedah Darul Aman, 3-1 bagi menjadi pendahulu Kumpulan C.

Kumaahran yang berasal dari Pulau Pinang turut mencipta satu jaringan semasa berdepan Negeri Sembilan dengan menjadikan dia meledak lima gol setakat ini selain membuat lima bantuan jaringan sepanjang saingan Liga Malaysia 2021.

Dalam pada itu, Kumaahran berasakan persiapan Melaka United sepanjang berehat selama sebulan ini sudah mencukupi selepas mengadakan dua perlawanan persahabatan bertemu Skuad Projek FAM-MSN dan Kuching City FC.

“Saya rasa dua perlawanan yang kita lalui tempoh hari sudah cukup buat kami mengekalkan tahap kecergasan sepanjang tempoh satu bulan ini.

“Kami semua mendapat rehat yang mencukupi setelah melalui Liga Super serta TM Piala Malaysia dan semua pemain sudah bersedia bagi mengharungi baki saingan musim ini, ” katanya.

Pertemuan Melaka United dan Kelantan United menjadi aksi tunggal di Kumpulan C pada Jumaat selepas Negeri Sembilan membuat keputusan menarik diri dari saingan TM Piala Malaysia ekoran 4 pegawai dan 20 pemain pasukan itu dijangkiti COVID-19.

Bagi saingan Kumpulan D, Sabah FC bakal melayani kunjungan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim selain Petaling Jaya City (PJ City) FC bertemu Kelantan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Brad Maloney: Kami Patut Menyudahkan Permainan Dengan Lebih Banyak Gol

Kem Latihan Harimau Malaya Bermula Selepas Tamat Separuh Akhir Piala Malaysia

Ketiadaan 4 Pemain Import Yang Ditamatkan Kontrak Tidak Jejaskan Semangat Perak