Penangguhan saingan Liga Malaysia musim ini kerana penularan wabak Coronavirus (COVID-19) nyata memberi kesan mendalam terhadap kantung beberapa pasukan bertanding.

Antara pasukan yang terjejas ialah Melaka United di mana mereka kerugian hampir setengah juta kerana tiada jualan tiket dijalankan dan ketiadaan beberapa penaja daripada pihak tertentu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Farhan Ibrahim berkata pihaknya kerugian RM200,000 pada perlawanan menentang pasukan Pahang sebelum saingan liga dihentikan.

Melaka United
Sumber Gambar: MFL

“Hanya dalam tempoh beberapa minggu ini saja Melaka kemungkinan menanggung kerugian mencecah RM500,000 sekali gus boleh menjejaskan pembayaran gaji kerana dana itu boleh menampung perbelanjaan dan kelangsungan pasukan.

“Segala keputusan diputuskan kerajaan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harus dipatuhi demi kebaikan semua namun sebagai sebuah pasukan bola sepak gaji kepada pemain tetap perlu dibayar,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Melaka United
FOTO: Melaka United

Malaysia ketika ini sedang menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda ketika ini.

Perintah ini bermakna segala aktiviti luar dan keramaian harus ditunda/dibatalkan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih belum memaklumkan mengenai tarikh untuk saingan Liga Malaysia kembali bersambung.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Perak Dan Terengganu Nafi Ada Masalah Kewangan

Senarai 10 Pemain Asia Tenggara Paling Bernilai

FAM Serahkan Kepada MFL Untuk Tentukan Status Piala Malaysia 2020