Melaka United mencatatkan kemenangan penting pada aksi ke-10 kempen Liga Super Malaysia 2021 setelah berjaya menundukkan Perak 1-0 di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Tuan rumah yang sekadar mencatatkan dua kemenangan setakat ini bagaimanapun bermula dengan baik apabila mendapat dua peluang terbaik pada 10 minit awal permainan.

Peluang pertama hadir pada minit ketiga selepas Mohamad Izzudin Mohd Roslan menerima lorongan cantik daripada Guilherme De Paula dalam kawasan penalti.

Namun, rembatan padu pemain muda tersebut berjaya ditepis penjaga gol Melaka United, Norazlan Razali untuk menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

De Paula terlepas peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan apabila beliau hanya berhadapan dengan Norazlan pada minit ke-10 tetapi kuisan awal dilakukan kurang cermat bagi membolehkan penjaga gol berpengalaman itu mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Penguasaan bola kemudiannya beralih kepada Melaka United yang memperoleh peluang pada minit ke-37 menerusi Mohd Syamim Yahya tapi percubaannya dari luar kawasan penalti berjaya ditepis penjaga gol, Muhammad Azri Ab Ghani.

Gawang Perak sekali lagi terselamat pada minit ke-56 apabila tandukan Jang Sukwon setelah menerima hantaran Sony Norde hanya singgah di palang gol ketika Azri Ghani sudah pun tertewas.

Wan Zaharulnizam Wan Zakaria muncul wira buat Melaka United setelah tolakan mudahnya susulan hantaran Stefan Nikolic ketika salah faham antara Azri Ghani dan Shakir Hamzah berjaya menghasilkan jaringan kemenangan.

Gol itu sudah cukup buat skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan untuk meraih kemenangan ketiga musim ini meskipun Perak berusaha keras memburu jaringan penyamaan.

Kemenangan ini juga mampu membuatkan Zainal Abidin menarik nafas lega apabila masa depannya bersama Melaka United dikatakan sebagai menemui penghujung sekiranya mereka gagal mencatatkan kemenangan pada perlawanan ini.