Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Nur Azmi mengesahkan pasukan Melaka United akan ditukar nama kepada Melaka FC serta bakal beraksi dalam saingan liga amatur, Liga M3 musim depan

Ia sekali gus menepis cadangan untuk menggunakan nama Harimau Melaka sehingga menjadi bualan peminat bola sepak tempatan di media sosial pada minggu lalu.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) kini diganti kepada MAFA berkuat kuasa serta merta.

Nur Azmi berkata dalam portal Melakahariini, skuad Melaka FC akan berwajah baharu dalam misi kembali semula ke Liga Super pada tahun 2024, selain layak beraksi di Piala FA musim depan.

Pihaknya juga telah mewujudkan satu akaun khas untuk memastikan pembayaran gaji pemain berjalan lancar setiap bulan tanpa sebarang tunggakan.

“Saya mahu fokus dan pastikan pembayaran gaji mengikut masa ditetapkan. Saya akan pastikan jika saya berhutang sekalipun, ia bukanlah hutang kepada pemain kerana perkhidmatan itulah yang paling penting dalam mengembalikan sukan bola sepak sebagai sukan nombor satu negeri ini,” katanya.

Sumber Gambar: MUSA

Walaupun bersaing di liga bawahan, MAFA akan berusaha sedaya upaya memastikan pasukan itu mempunyai kualiti setanding pasukan Liga Super dengan membariskan sekurang-kurangnya 10 pemain anak jati Melaka.

MAFA juga menyenarai pendek empat jurulatih iaitu dua jurulatih luar negara dan dua jurulatih tempatan untuk mengemudi pasukan menerusi pembabitan jawatankuasa teknikal yang akan dilantik bagi bekerjasama dengan jurulatih dalam aspek pemilihan pemain.

“Sudah ada beberapa nama, cuma belum pasti sama ada mahu pilih jurulatih tempatan atau import. Kita buat persiapan awal dan mereka dijangka mula berlatih awal bulan depan,” kata Nur Azmi.