Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan terdapat tunggakan gaji yang perlu diselesaikan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) kepada pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia, Curran Lawrance Singh Ferns.

Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuaratnya telah mengarahkan MUSA membayar tunggakan gaji sebanyak RM97,500.00 kepada pemain tersebut.

“Tuntutan pengadu telah diterima sepenuhnya dan Persatuan Bolasepak Melaka dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada (pemain) tertakluk kepada potongan wajib pendapatan,” kata Pengerusi Jawatankuasa iaitu Mohd Joehari Ayub.

Curran Ferns sebelum ini membidas Melaka United sebagai tidak profesional dalam menjaga kebajikan pemain.

Dipetik daripada Nadi Arena, Ferns berkata:

“Selepas tiga bulan, gaji tidak yang dibayar oleh Melaka. Apa yang tidak menggembirakan saya lagi adalah pemotongan gaji selepas gaji pemain telah tertunggak selepas dua bulan.

“Saya tidak memberikan sebarang persetujuan dengan perkara itu dan mereka menjanjikan bonus kepada kami jika memenangi perlawanan,” katanya.

Curran Ferns
Sumber Gambar: Felda United

Malah, Melaka United juga kini berdepan risiko ditarik balik lesen beraksi dalam Liga Malaysia jika gagal menyelesaikan tunggakan gaji dan melengkapkan dokumen yang diperlukan oleh FAM.

Nasib Melaka United dan sebuah lagi pasukan Liga Premier akan ditentukan dalam mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM minggu depan.

Mengikut rekod, Melaka dilaporkan sudah menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan skuad utama dan belia pada Ogos tahun lalu.

Khabar tersebut sekaligus meniup semangat pasukan berkenaan yang kini dalam misi mahu berada dalam kedudukan terbaik di saingan Liga Super musim ini selain menyusun semula pembangunan akar umbi.

Baca artikel lain mengenaiisu yang melibatkan Melaka United melalui pautan dibawah. 

Gagal Lengkapkan Dokumen Pelesenan Kelab, Melaka United Bakal Beraksi Di Liga M3?

Peminat Kecam Tindakan Setiausaha Agung Melaka United Pakai Jersi Liverpool Di Majlis Rasmi

Logo Baru Kelab Melaka United FC ‘Kantoi’ Diubahsuai, Logo Asal Milik Syarikat Bare Blends Dari Australia?